Header Ads

Kenapa Saya Suka Travel Guna Drone? - Yoshihide Ishigami


Profil: Berasal dari Gifu, Jepun, Yoshihide Ishigami kini berada di Malaysia sebelum meneruskan pengembaraan merakam keindahan dunia dengan drone. Korang boleh tengok beberapa video yang dihasilkannya di YouTube channelnya Fly Around The World dan Facebook, www.facebook.com/ishigami.yoshihide.

Seawal usia 20 tahun, saya memulakan pengembaraan sebagai seorang backpacker menggunakan kamera filem sahaja. Itu pun 12 tahun yang lalu, sewaktu saya masih lagi seorang pelajar kolej.

Saya banyak mengambil gambar orang-orang tempatan di Asia, Eropah, Syria dan Palestin. Saya juga pernah mengadakan pameran foto sebanyak tiga kali di Tokyo.

Selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai jurujual sebab nak kumpul duit untuk mengembara ke seluruh dunia sekali lagi. Akhirnya, saya ada duit yang cukup untuk mengembara selama enam tahun.

Saya mula sediakan barang-barang untuk mengembara seperti kamera, pakaian dan beg.  Tetapi, saya rasa macam tak puas hati. Rasa tak lengkap. Bila fikir balik, saya rasa tak puas hati sebab kamera.


DRONE UNTUK KELAINAN

Pada waktu itu, mengambil gambar adalah mudah dan tidak begitu istimewa. Saya ingin berkongsi pengembaraan sebagai seorang backpacker kerana kebanyakan orang tidak pernah mengembara ke luar negara dan saya nak galakkan masyarakat untuk keluar dari kepompong dan pergi ke seluruh dunia dengan cara saya sendiri.

Tetapi saya fikir ia tidak cukup untuk mempengaruhi orang hanya dengan gambar still atau video-video biasa. Sebabnya, semua orang boleh ambil gambar dan video di Facebook. Jadi, saya perlukan cara baru.

Saya banyak memikirkan sesuatu semasa persiapan, tetapi tak juga dapat idea yang bernas. Awalnya, saya pergi ke Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan juga Laos. Saya terus memikirkan cara yang baru dalam semua pengembaraan saya.



Semasa saya sampai di China, saya mengalami kejutan video yang menakjubkan dengan drone. Saya begitu teruja sekali! "Ini lah apa yang saya mahu!" Saya terus beli drone tanpa berfikir panjang dan berlatih sendiri cara menggunakannya di China.

Drone saya jenis DJI Phantom 3. ‘Rezeki’ saya, sebabnya DJI dibuat di China, jadi mudah untuk saya membelinya di sana. Saya buat keputusan untuk cuba selfie dan merakam lokasi-lokasi di seluruh dunia kerana saya mahu semua teruja dan rasai sendiri macam mana menjadi seorang backpacker.

Drone dah jadi macam sahabat saya sendiri. ‘Dia’ tunjukkan saya pemandangan yang luar biasa dan betapa indahnya alam semula jadi. ‘Dia’ juga banyak buka ruang untuk saya berkenalan dengan rakan-rakan pengembara di seluruh dunia.

Tetapi, untuk mengembara dengan drone bukanlah perkara yang mudah - ada juga perkara-perkara yang perlu diambil kira ketika menggunakannya.

Dalam keluaran BackPackerz akan datang, saya akan beritahu tentang itu...

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.