Header Ads

SEAVENTURES DIVE RESORT MABUL SYURGA BUAT PENYELAM


Pelantar minyak? Mungkin janggal sekali namun itulah pengalaman lain dari yang lain yang ditawarkan di sebuah resort yang terletak tidak jauh dari Pulau Mabu, Sabah. Bahkan, apa yang menjadikannya lebih istimewa, resort ini merupakan satu-satunya destinasi ‘dive rig’yang wujud di dunia.

Bagi penulis, tidak lengkap menjadi seorang diver jika anda tidak pernah meneroka khazanah laut yang ada di sekitar Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai. Namun, untuk ke sini kos yang diperlukan bukanlah murah.

Justeru itu, kewujudan Seaventures Resort adalah altenatif yang sempurna buat penyelam tegar untuk menyelami lokasi terumbu karang bertaraf dunia tanpa perlu berbelanja besar.

Keindahan Semporna Diterjemah Menjadi Realiti

Enjin bot dihidupkan untuk memulakan perjalanannya di Jeti Semporna setelah semua penumpang siap sedia memakai jaket keselamatan. Kali ini, penulis bakal menuju ke sebuah resort yang lokasi yang amat hampir dengan Pulau Mabul.

Bagi penulis sendiri, ia adalah pengalaman pertama berada di destinasi paling popular buat pecinta laut. Namun, perasaan teruja dan gembira dapat penulis kongsikan bersama-sama semua penumpang yang ada di dalam bot.

Angin laut lembut menyapa pipi penulis setelah bot jauh meninggalkan daratan. Bot mula meredah ombak sambil melewati Pulau Bum Bum. Di sini, jelas kelihatan perkampungan Bajau Laut yang unik menghiasi pulau terbesar yang wujud di Semporna.

Berbeza dengan kehidupan orang darat, di sini setiap keluarga tentu memiliki sekurang-kurangnya sebuah kenderaan air. Melihat laluan air yang sentiasa sibuk di sini, penulis membayangkan kehidupan yang tenang oleh penduduk setempat.

Segala kesibukan tugasan dan kerja di kota seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja, lenyap dari fikiran penulis. Mana tidaknya, pemandangan di sini yang bagaikan syurga yang dipinjamkan ke dunia menjadi terapi yang paling mujarab.

Lihat saja di mana-mana sudut 360 darjah. Tiada sebarang kecacatan hasil tangan manusia dapat dilihat di sini. Oleh itu, maka tidak hairanlah mengapa taman laut Semporna menjadi tumpuan para pelancong dari seluruh dunia untuk datang ke sini.

Resort Lain Dari Yang Lain

Setelah hampir setengah jam mengharungi samudera biru, sedikit demi sedikit resort yang bakal kami tuju mula menampakkan wajahnya di hadapan Pulau Mabul. Memang tidak salah lagi, sebuah pelantar minyak gergasi! Sekali imbas, bentuk resort ini seoalah-olah kapal besar yang tersadai di tengah lautan biru.

Kami disambut mesra oleh krew resort. Oleh kerana ia meruapakan sebuah pelantar, kami dikehendaki untuk menaiki sebuah lif khas sebelum sampai ke ruangan dek resort. Selepas mengisi borang keselamatan dan menghabiskan ‘welcome drink’, penulis diiring hingga ke bilik.

Tatkala meninjau di sekitar ruangan resort, penulis dapat merumuskan bahawa resort ini merupakan sebuah hub lengkap buat ‘divers’. Dengan kemudahan alatan yang lengkap di bawah seliaan jurulatih penyelam yang professional, tempat ini telah merangkul anugerah 5 bintang oleh PADI.

Bukan Tempat Untuk Memanjakan Diri

Bercakap mengenai prasarana resort ini, perlu diingat bahawa keselesaan dan layanan bertaraf lima bintang bukanlah faktor atau motif utama mengapa diwujudkan resort ini. Justeru itu, maka tidak hairanlah suasana pelantar minyak sebenar masih dikekalkan di hampir setiap sudut.

Meskipun penginapan yang disediakan adalah asas dan tidak mewah, namun bagi penulis ianya cukup selesa buat pengunjung untuk tidur dengan nyenyak. Buat mereka yang bergelar ‘divers’pula, ia menjadi hub yang paling istimewa kerana mereka tidak pernah berpisah dengan kehidupan laut sepanjang berada di sini.

Jika anda bukanlah dikalangan penyelam dan sedikit cerewet, maka resort ini bukan tempat untuk anda berlibur. Apa yang pasti, fokus utama  99.9 peratus pengunjung yang tiba di resort ini adalah untuk menyelam sebanyak mungkin sepanjang tempoh inapan.

Syurga Dasar Laut Buat Penyelam

Panorama memukau. Itulah yang dapat penulis gambarkan sepanjang berada di sini. Melihat matahari terbit dan terbenam merupakan pengalaman indah, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Bila siang mula melabuhkan tirai, suasana resort bertukar menjadi meriah dimana semua penghuni resort akan berkumpul di restoran sambil menikmati makan malam BBQ yang disajikan. Seleksi makanan laut segar yang ada di sini memang membangkitkan selera.

Buat para penyelam pula, menikmati keindahan dasar lautan di sini pastinya merupakan pengalaman dan memori yang sukar untuk dilupakan. Kepuasan jelas ditunjukkan oleh mereka yang ada di sini tatkala berbual dengan penulis. Justeru itu, tidak rugi jika anda menjadikan resort ini sebagai destinasi persinggahan anda yang seterusnya.

Nota Penulis
Kemudahan  ruang penginapan tidaklah seperti istana, tetapi ia cukup selesa dan bersih. Perlu diingatkan, ia adalah sebuah pelantar minyak, Namun, kemudahan akses jalur lebar WiFi percuma di setiap sudut, restoran dan BBQ (seafood terbaik) serta kelengkapan menyelam yang lengkap, tiada apa yang boleh penulis rungutkan.

Tip
Jika anda ingin menginap sambil mengikuti kursus-kursus yang disediakan, sila rujuk kepada pakej-pakej istimewa yang ditawarkan oleh resort ini yang dipaparkan di laman sesawangnya.

Untuk Ke Sini

Kapal Terbang
Ambil penerbangan domestik ke Lapangan Terbang Tawau. Sejurus mendapat, ambil pengangkutan awam ke Jeti Pelancongan Semporna yang merupakan pintu gerbang untuk ke Pulau Mabul/Sipadan. Pengangkutan bot disediakan oleh pihak resort.

Teksi
Perjalanan ke Semporna dari Lapangan Terbang ke jeti mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit. Mengikut orang tempatan, bayaran yang dikenakan untuk perjalanan sejauh 85km ini adalah sekitar RM100.

Bas
Cara kedua adalah dengan menaiki bas. Dari Lapangan Terbang Tawau, bas akan bertolak ke Tawau City pada pukul 8 pagi, 10.30 pagi, 2.30 petang dan 5 petang. Harga tiket bas adalah sebanyak RM10. Dari Tawau City, ambil bas ke Semporna dengan harga tiket sekitar RM10 hingga RM15.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

Seaventures Dive Resort
Off Mabul Island  91300 Semporna, Sabah
T +60 88 261669 / 251 669
F +60 88 251 667

W http://seaventuresdive.com/
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.