Header Ads

5 LOKASI MENATAP MATAHARI TERBENAM TERBAIK SEKITAR SARAWAK


Ciptaan Tuhan yang seringkali menjadi tumpuan tatkala percutian terutamanya ketika berbulan madu pastinya saat ketika menantinya matahari terbenam. Nikmat alam semula jadi ini pastinya menjadi detik-detik bermakna terutamanya bersama yang tersayang dan juga buruan peminat fotografi untuk merakam potret sempurna. 

1) Kuching Waterfront, Kuching

Menawarkan pemandangan unik The Astana, Fort Margherita dan perkampungan nelayan di seberang sungai,  Kuching Waterforont turut menawarkan panorama indah Sungai Santubong. Pada siang hari, lokasi ini meriah dengan kehadiran pengunjung yang bertandang ke bangunan Muzium Sejarah, Bazaar Sarawak Steamship dan Square Tower. Ukiran moden dan landskap yang dipersembahkan pastinya bakal menarik lensa anda untuk bergambar di sini.

Pada malam hari pula, Kuching Waterfront bagaikan pesta dek kehadiran air pancut muzikal berwarna-warni. Ia menjadi tarikan untuk bersantai yang dilengkapi dengan kemudahan hiburan, restoran dan gerai makanan. Juga, jangan lepaskan peluang untuk melayari pelayaran matahari terbenam dengan Sunset River Cruise yang terletak berhampiran dengan Waterfront.


2) Luak Bay Esplanade, Miri

Terletak kira-kira 11km dari selatan pusat bandar, pantai pasir memutih ini merupakan tempat popular buat pengunjung untuk mengadakan aktiviti berkelah dan barbeku. Dikatakan, ia merupakan tempat yang terbaik untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Miri. Berhampiran dengan lokasi pantai ini ialah Pantai Bungah, Pantai Sibuti dan Pantai Peliau yang turut menjadi kegemaran penduduk tempatan untuk bersantai di waktu petang.

Pastinya, anda akan menyedari akan kehadiran Kuda Laut gergasi yang menjadi lambang kepada bandar Miri. Selain Luak Bay, bandar Miri turut menawarkan beberapa lokasi menarik untuk dikunjungi. Antaranya ialah monumen “Grand Old Lady” dan Muzium Petroleum  yang dibina di puncak Bukit Kanada, Kuil Tua Pek Kong, Tamu Muhibbah, Miri Old Town dan   Miri Handicraft Centre yang terletak di Jalan Brooke.  
3) Gunung Santubong & Gunung Sejinjang, Kuching
“Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, penjaga gunung negeri Sarawak,” – Pastinya ungkapan lirik lagu rakyat ini pernah didengari oleh sesiapa sahaja. Dua gunung lagenda yang terkenal di Sarawak ini sarat dengan tarikan alam semula jadi yang memukau mata. Hanya mengambil masa kira-kira setengah jam dari pusat bandar Kuching untuk ke sini, ia adalah sebuah lokasi yang wajib dikunjungi andai bertandang ke bandar Kuching.
Kampung Budaya Sarawak dan Kampung Santubong pasti memukau mata anda bila bertandang ke perkampungan yang terletak di kaki Bukit Santubong.  Elemen tradisional dan budayanya masih utuh dan dapat dilihat hingga ke hari ini. Juga, jangan lepaskan untuk menaiki bot sambil menghirup udara segar dengan menggunakan Kuching Wetlands Cruise. Jika anda ingin bangun pagi berlatarkan gunung, terdapat beberapa pilihan resort yang boleh menjadi inapan seperti Damai Beach Resort, Damai Puri Resort & Spa dan Permai Rainforest Resort.
4) Taman Negara Similajau, Bekenu
Terkenal dengan keunikan bentuk muka bumi dan geografi yang mengkagumkan, Taman Negara Similajau boleh dijejaki dengan 45 minit memandu dari bandar Bintulu. Buat pecinta alam semula jadi, Taman Negara ini merupakan tempat sempurna untuk menikmati flora dan fauna yang tidak tercemar. Dikatakan, lokasi tumpuan hujung minggu ini juga mempunyai salah satu kawasan pantai yang paling cantik di Malaysia dengan pantai berpasir putih bersih.
Kehadiran kira-kira 230 spesis burung, 24 spesis mamalia dan dua spesies buaya iaitu Buaya Muara dan Buaya Gharial Palsu pasti menimbulkan minat buat mereka yang suka untuk mendekati alam semula jadi. Buaya-buaya ini mudah untuk dilihat terutamanya pada waktu malam. Selain buaya, spesies ikan lumba-lumba, penyu hijau dan Ketam-ketam horsesho juga boleh dilihat di perairan Taman Negara. Istimewanya, pusat kawalan boleh mengaturkan lawatan pada waktu malam buat pengujung dengan menggunakan bot. Yang pasti, suasana senja di sini amat mengkagumkan untuk anda yang menginginkan suatu pengalaman percutian yang lain dari kebiasaannya.
5) Pantai Temasya, Bintulu
Sesiapa yang pernah bertandang ke sini pasti mengakui bahawa menatap matahari terbenam di sini merupakan suatu kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Begitulah keunikan Pantai Temasya Tanjung Batu yang terletak kira-kira 5km dari pusat bandar Bintulu. Pantai ini menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong luar terutama pada hujung minggu dan cuti umum untuk beristirehat dan berkelah bersama keluarga dan teman.
Di penghujung Pantai Temasya Tanjung Batu pula ialah Pantai Tanjung Kidurong atau turut dikenali sebagai Pantai ABF. Buat penggemar lensa, memotret suasana jeti nelayan tradisional tatkala senja di sini pasti akan memberikan anda satu kepuasan dalam bekarya. Sambil itu, jangan lepaskan peluang untuk mengisi perut yang lapar di gerai-gerai jualan yang terdapat di sini. Antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tandas awam, tempat makan dan tempat riadah dan sukan.

Beli-Belah

Satok Market merupakan pasar minggu yang beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad yang terletak di Medan Niaga Satok di bandar Kuching. Pasar ini adalah kemestian buat pelancong yang datang ke negeri Sarawak pada hujung minggu. Barangan seperti hasil hutan, kraftangan, makanan tradisi tempatan dan hasil pertanian segar boleh didapati di sini.

Masa terbaik untuk membeli-belah di lokasi yang sentiasa dipenuhi dengan ramai orang adalah pada malam Sabtu atau awal pagi Ahad. Andai bertandang ke sini, jangan lupa untuk singgah ke restoran Kubah Ria yang terletak berhampiran dengan Pasar Satok.

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.