Header Ads

10 PULAU EKSOTIK PILIHAN 2015

Photo Credit: Tourism Malaysia

Tidak perlu pergi jauh untuk melihat air laut bewarna biru. Tidak perlu menempah hotel tepi pantai di luar negara pada harga mahal. Malaysia memiliki banyak pulau-pulau indah yang sebahagiannya masih belum diterokai. Jom kita lihat pilihan pulau-pulau eksotik pilihan kami bagi tahun 2015. 

1) Pulau Susu Dara [Perhentian Kecil]

Kebiasaannya, mereka yang menginap di Pulau Perhentian pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersnorkeling di Pulau Susu Dara. Terletak berhampiran dengan pulau ikonik pelancongan negeri Terengganu iaitu 21km, pulau ini terdiri daripada beberapa gugusan pulau kecil iaitu Pulau Susu Dara, Pulau Susu Dara Kecil dan Pulau Tokong.

Perairan birunya cukup jernih hinggakan anda mampu melihat ke dasar lautan, kelibat ikan-ikan bermain serta keindahan batu karang yang berwarna-warni. Justeru itu, maka tidak hairanlah jika lokasi ini sering menjadi ‘port’ tumpuan snorkeling dan selam skuba.

2) Pulau Seringgi [Perhentian Kecil]

Buat sesetengah penglibur, pastinya Pulau Seringgi (juga dikenali dengan nama Pulau Serenggeh) jarang sekali sekali kita dengar. Pun begitu, buat agensi pelancongan, Pulau Seringgi pasti ada diselitkan dalam pakej satu hari bersnorkeling di pulau ini dan Pulau Rawa. Seperti Pulau Susu Dara, ia merupakan syurga buat para pecinta lautan untuk menghabiskan masa percutian indah mereka di Pulau Perhentian.

Pada kebiasaannya, aktiviti di Pulau Seringgi diadakan pada waktu pagi sebelum bergerak ke lokasi snorkeling yang seterusnya. Buat mereka yang ingin menanam minat snorkeling di kalangan anak-anak, pastinya Ikan Nemo bakal mencuri tumpuan mereka tatkala pertama kali bersnorkeling di sini.

Terdapat beberapa pilihan lokasi selera buat anda pilih. Kebanyakannya terletak di Coral Bay seperti Ewan's Cafe, Matahari Restaurant, Shari La, Senja, Eat @ Maya, Amelia Cafe, Coral Bay dan Mama's Kitchen atau anda boleh memilih untuk berbabeku bersama teman-teman.

Inapan - Matahari Chalet, Mira Chalet, Moonlight Chalet, Petani Beach Chalet, Rajawali Island Resort, Tanjong Langan Chalet, Simfoni Chalet, Cempaka Chalet, Coral Bay Chalet, Dj Chalet, D'Lagoon Chalet, East West Chalet, Impiani Tropical Resort, Long Beach Inn, Senja Bay Resort, Oh La La's Chalet, Mohsin Chalets Aur Beach Chalet, Bubu Long Beach Resort dan Butterfly Chalet.

3) Pulau Mamutik

Pulau Mamutik terletak di Kota Kinabalu. Perjalanan setengah jam dari Jesselton Point (dahulunya Terminal Feri Lembaga Pelabuhan Sabah) bakal membawa anda ke pulau ini dan beberapa tarikan lain di Taman Laut Tunku Abdul Rahman seperti Pulau Gaya, Pulau Sapi , Pulau Manukan dan Pulau Sulug. Sewa yang dikenakan bagi setiap bot yang mampu memuatkan kira-kira empat hingga enam orang adalah antara RM100 dan RM200.

Pulau Mamutik sering dianggap kurang popular berbanding Pulau Sapi dan Pulau Manukan di kalangan pelancong dek kerana kekurangan prasarana. Pun begitu, ia adalah lokasi yang lebih ideal buat mereka yang ingin bersantai dengan kurang kelibat manusia di sekeliling. Kafe-kafe kecil yang terdapat di sini juga pasti mampu memberikan kelainan buat anda untuk merasai makanan BBQ laut yang segar berlatarkan keindahan pulau.

4) Pulau Mabul

Boleh dikatakan, Pulau Mabul adalah satu lokasi wajib pergi walaupun sekali dalam seumur hidup, Ia merupakan ‘syurga’ yang membawa anda untuk menyelami kehidupan Bajau Laut sejurus sahaja bertolak dari Jeti Semporna. Gah dek kecantikannya, Mabul bukan sahaja telah menjadi terkenal kerana kedudukannya yang berhampiran Sipadan, bahkan menjadi tumpuan para penyelam dari seluruh negara yang tidak melepaskan peluang untuk melihat batu karang terbaik di dunia!

Pulau Mabul juga menjadi persinggahan buat mereka yang ingin ke Pulau Sipadan tiada resort dibuka disana. Hanya 120 orang sahaja yang di benarkan melawat Pulau Sipadan dalam masa sehari. Ia adalah sebagai satu usaha untuk menjaga dan memelihara kecantikan pulau tersebut.
Inapan - Mabul Beach Resort, Scuba Jeff Sipadan, Sipadan Water Village, Seaventures Rig Resort, Mabul Water Bungalow Resort, Sipadan Mabul Resort dan Borneo Divers Mabul Resort.

5) Pulau Tenggol

Pulau Tenggol terletak 14 batu nautika di luar pantai perkampungan nelayan yang tenang di Kuala Dungun, Terengganu. Untuk ke sini, perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dari Jeti Kuala Dungun. Terletak di selatan Taman Laut Terengganu, Pulau Tenggol memperlihatkan beberapa lokasi snorkeling dan selam skuba yang menarik seperti Pulau Nyireh, Tokong Timur, Tokong Burung dan Tokong Talang/Tokong Kemudi dan Tokong Laut.

Pulau ini turut menyediakan kemudahan buat para tetamunya untuk menjalankan aktiviti snorkeling, menyelam skuba, merentas hutan atau bersantai berhamprkan hanya berjemur pantai berpasir putih di bawah sinaran matahari. Tenggol Island Beach Resort dan Tenggol Island Beach Resort & Spa merupakan dua resort yang beroperasi di sini.

Pulau Tenggol menjadi laluan migrasi jerung paus yang biasanya bermula dari Ogos hingga Oktober setiap tahun. Ia dinanti-nantikan oleh para penyelam kerana tidak banyak tempat di dunia di mana jerung paus tinggal lebih lama di satu tempat yang tertentu.

6) Pulau Gemia

Pulau berbatu yang terletak hanya beberapa ratus meter dari Pulau Kapas di Terengganu. Amat sesuai untuk anda yang datang berbulan madu atau bersama teman rapat untuk melihat keindahan lautan sekelilingnya. Berbanding Pulau Kapas, lokasi ini agak ‘tersembunyi’ dan sesuai untuk mereka yang tidak gemar kawasan pulau yang padat dengan manusia. Hanya terdapat satu resort di sini iaitu Gem island Resort. Kebanyakan bilik di sini menyediakan ruang balkoni yang memaparkan pemandangan laut yang indah.  

Sesi rawatan spa di sini yang cukup terkenal di kalangan pelancong serta aktviti kayak dan snorkeling keliling Pulau Gemia.

7) Pulau Layang-Layang (Sabah)

Pulau buatan manusia yang dianggap ‘syurga’ buat para penyelam skuba. Terletak kira-kira 300km di sebelah barat laut Kota Kinabalu, Pulau Layang-Layang bukan pulau tropika yang dipenuhi pokok-pokok seperti pulau lain. Asalnya ia adalah pengkalan marin yang kini dibuka untuk para pelancong melakukan aktiviti selam skuba. Tiada pokok kelapa, pasir memutih atau pepohon rendang di sini. Namun, di sekelililing anda adalah air laut bewarna biru kehijauan yang sungguh cantik. Semestinya ia merupakan destinasi impian buat ‘kaki selam’ kerana terdapat 12 lokasi menyelam di sekeliling pulau ini.

8) Pulau Sapi (Sabah)

Merupakan salah sebuah pulau di antara lima buah pulau di Taman Marin Tunku Abdul Rahman, kira-kira 15 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu. Dikatakan sebagai antara pulau tercantik di Sabah. Anda boleh datang ke sini samada dari jeti Jesselton atau Sutera Harbour. Penulis cadangkan anda tempah pakej lawatan sehari ke sini untuk mandi-manda di air lautnya yang jernih dan bewarna kebiruan. Pakej setengah hari di sini biasanya menawarkan sekali sesi makan tengahari jadi ia lebih memudahkan.

Scuba Doo Mini Submarine-di mana anda akan berjalan di dalam air dengan memakai kelengkapan kapal selam berbentuk motosikal. Memang unik kerana hanya Pulau Sapi dan Pulau Manukan menawarkan aktiviti ini.

9) Pulau Perhentian Besar

Semestinya memiliki saiz lebih besar daripada Pulau Perhentian Kecil, Perhentian Besar adalah lokasi sesuai untuk anda menatap keindahan lautan sekeliling sambil membaca novel, berjemur atau sekadar menikmati minuman ringan tepi pantai. Ia menawarkan bukan sekadar pakej snorkeling, malah aktiviti merentas hutan turut disediakan. Penginapan yang disediakan di sini juga lebih banyak berbanding dengan apa yang ditawarkan di Perhentian Kecil. Antara yang boleh dipilih adalah Perhentian Island Resort, Bubbles Dive Resort, Tuna Bay Island Resort, Coral View Resort, Arwana Eco Resort dan banyak lagi.

10) Pulau Rawa

Merupakan pulau terumbu karang yang terletak di sebelah Pantai Timur Johor, iaitu 16km dengan menaiki bot dari jeti Mersing. Pulau ini tidak terlalu besar tetapi menawarkan kawsan pantai yang bersih dan air laut yang bewarna kebiruan. Jika berhajatd atang ke sini, penulis cadangkan menginap di Rawa Island Resort yang menyediakan kemudahan lengkap seperti berkayak dan aktiviti snorkeling. Saksikan juga pelbagai hidupan marin dalam air yang dapat dilihat dengan begitu banyak di sini.



Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.