Header Ads

10 RESORT MALAYSIA PALING ROMANTIS BUAT BERBULAN MADU 2015


1 - Casa del Mar Langkawi, Kedah
Menerima jolokan ‘rumah di tepi laut’, Casa del Mar Langkawi merupakan sebuah resort butik mewah yang hanya dilengkapi dengan 34 buah bilik, sesuai buat mereka yang gemarkan privasi. Lokasinya yang mengadap Pantai Cenang menjanjikan saat-saat romantik. Ditambah pula dengan keenakan kulinari dan servis yang ditawarkan, percutian anda di sini amat sesuai buat mereka yang ingin mencari nafas baharu dalam percutian romantik.   

2 - The Danna Langkawi, Kedah
Hotel lima bintang yang terletak di Pulau Lagenda ini didirikan di atas pantai yang cantik dengan pemandangan bukit menghijau dan berlatarkan deretan bot-bot mewah yang berlabuh di persisiran marina. Berada di persekitaran sebegini tentunya menjadi dambaan pasangan-pasangan romantis. Apatah lagi jika servis yang ditawarkan bakal menjadikan pengalaman anda bersama pasangan menjadi sebuah hadiah percutian yang tidak dapat dilupakan.

3 - Seven Terraces, Pulau Pinang
Resort baharu berskala kecil yang menjanjikan privasi ini hanya memiliki 18 ruang inapan, lantas menjanjikan suasana romantis tanpa sebarang gangguan. Terletak di Georgetown, Pulau Pinang yang merupakan tapak warisan UNESCO, ia bagaikan percutian yang menjemput anda untuk menyelami keindahan seni antik dalam suasana persekitaran yang harmoni.

4 - The Datai Langkawi, Kedah
Layanan istimewa yang diterjemahkan dalam suasana hutan yang mendamaikan, The Datai Langkawi merupakan ikon kepada hotel mewah dalam suasana hijau. Tema hotel ini sangat sesuai buat mereka yang ingin duduk bersantai sambil berbulan madu. Dengan kemudahan tab mandi dan pemandangan matahari terbenam, anda boleh bayangkan betapa romantiknya percutian yang resort ini bakal tawarkan. 

5 - Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa, Pulau Pinang
Diadun dengan tradisi dan warisan sejarah, resort berlatarkan ciri-ciri Minangkabau ini menggambarkan kehalusan seni budaya yang ada di Malaysia. “Saya dan pasangan telah kembali ke resort ini sejak tiga tahun yang lalu dan ingin melawat ke sini lagi suatu hari nanti. Lokasinya yang ideal dan indah, kami dapat melihat panorama laut yang indahh berdepan dengan inapan kami yang terletak di Garden Wing. Dengan keramahan dan staf yang  ringan tulang, tiada apa yang mampu kami rungutkan,” kata salah seorang tetamu Shangri-La’s Rasa Sayang.

6 - Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
Syurga tersembunyi di tengah bandar Kuala Lumpur ini menawarkan ruang peribadi yang mewah dengan kemudahan lengkap buat penghuninya. Dengan akses mudah untuk ke bandar dan pemandangan indah berlatarkan menaraka KLCC, ia pasti menjadi percutian sempurna yang meninggalkan seribu satu memori indah.

7 - Villa Samadhi Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
Salah satu rahsia yang tersembunyi di balik kesibukan bandaraya Kuala Lumpur, Villa Samadhi lebih menjurus kepada sebuah private villa yang besar berbanding sebuah hotel butik. Hotel ini sangat sesuai buat mereka yang datang berpasangan. Ruang inapan dan keseluruhan dekorasi hotel dihias indah dengan sensasi sentuhan peribadi seperti coklat di atas katil, makanan ringan, buah-buahan dan minuman yang diberikan secara percuma buat tetamu hotel.

8 - Shangri-La Rasa Ria Resort, Sabah
Diliputi hutan tropika dengan pemandangan bukit-bukau menghijau yang mengagumkan, resort yang berdiri utuh berhadapan dengan pantai ini terletak di Pantai Dalit Kota Kinabalu. Menurut salah seorang pengembara TripAdvisor, “Kami menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke dua belas tahun di Rasa Ria dengan romantik sekali. Melihat kelopak bunga ros berbentuk hati dan dua ekor angsa yang digubah menggunakan tuala di atas katil, ia adalah satu kejutan yang amat manis.”

9 - Pangkor Laut Resort, Perak
Didirikan di atas sebuah pulau persendirian yang berdiri gah di atas Selat Melaka, resort ini menggabungkan cita rasa mewah bersama keindahan alam semula jadinya. Garapan penggunaan elementasi kayu pada resort pula mengilhamkan suasana damai yang mengasyikkan. “Percutian saya tidak pernah cukup tatkala berada di sini. Keindahan taman, hutan dan kakitangan resort yang mesra membuatkan saya merasa bertuah untuk menghabiskan masa bersama yang tersayang di tempat yang indah ini,” kata salah seorang pengembara TripAdvisor.

10 - Tanjong Jara Resort, Terengganu
Terletak di Pantai Timur Malaysia, Tanjung Jara Resort merupakan santuari mewah yang direka untuk menggambarkan suasana elegen dan keanggunan suasana istana Melayu pada abad ke 17. Menerima jolokan “syurga di dunia” oleh ramai pengembara, persekitaran hotel, ruang inapan dan staf di sini bakal menjadikan percutian romantik anda menjadi nyata.
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.