Header Ads

RESTORAN SEAFOOD TERBAIK SEKITAR JOHOR BAHRU


Bertandang ke negeri Johor untuk mencuba sendiri sajian yang disajikan di sini tidak pernah mengecewakan. Pastinya menggamit selera dan berbaloi-baloi. Kepada peminat makanan siakap tiga rasa, jangan lupa untuk singgah ke dua lokasi destinasi selera ini apabila berada di selatan tanah air.

1- Anjung Senibong Seafood



Syurga seafood ini terletak di Kampung Senibong, Permas Jaya, Johor Bahru. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kawasan ini, penulis berasa terpegun melihat deretan restoran di sepanjang laluan, masing-masing  mempamerkan variasi makanan laut segar serta menu yang menyelerakan. 


Apa yang membuatkan tempat ini begitu istimewa ialah suasana open air di tepi laut. Duduk di ruangan meja luar yang tidak berbumbung, anda boleh makan bersama keluarga sambil menikmati pemandangan indah Selat Tebrau yang memisahkan antara negara kita dan Singapura. Panorama terbaik dan udara nyaman ini tentunya di waktu senja yang pastinya menambahkan selera sesiapa sahaja.


Jika anda berasa rambang mata untuk memilih restoran yang ada, penulis mencadangkan supaya anda singgah di Restoran No. 6 yang terletak di pertengahan kawasan Anjung. Selain menawarkan hidangan seafood terbaik, harganya juga amat berpatutan. Tambahan pula, penulis mendapati makanan yang dipesan sampai dengan cepat meskipun di waktu itu restoran sesak dengan kehadiran ramai pengunjung.



Anjung Senibong Seafood
4, Pesisir Pantai Senibong, Kampung Senibong,
81750, Masai, Johor Bahru, Malaysia.


2 - Malay Village Restaurant


Mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2010, restoran yang terletak di Taman Nusa Bestari, Johor Bahru ini mula menjadi sebutan ramai. Pada pemerhatian penulis, kehebatan restoran ini terletak pada kepelbagaian cita rasa yang disajikan. Sebut sahaja apa yang didambakan, masakan Thai, barat, masakan melayu hingga ke Dim Sum, ia sedia menanti untuk dipesan oleh pelanggan.

Selain siakap tiga rasa, hidangan asam siakap adalah menu paling popular yang ada di restoran Thai ini. Apa yang menariknya, asam siakap merupakan satu-satunya menu masakan Thai yang tidak ada dihidangkan di mana-mana restoran lain di Johor Bahru selain Malay Village. Selain itu, siakap terbang merupakan menu unik yang ada disajikan di sini.


Oleh kerana restoran ini mula beroperasi seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, ia turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan hidangan sarapan pagi yang unik. Sarapan ala-Muar atau sarapan ala-Muo memperlihatkan hidangan mee rebus dan sate dihidangkan kepada tetamunya seawal pagi! Mungkin hidangan ini kedengaran agak pelik namun  itulah  keistimewaan dan hidangan sarapan pagi rutin buat orang Muar.





Malay Village Restaurant
51, Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari, 
81300, Johor Bahru, Johor, Malaysia.


Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.