Header Ads

PESONA ENGLISH TEA HOUSE AND RESTAURANT SANDAKAN SABAH

English Tea House and Restaurant merupakan sebuah restoran berkonsepkan gaya era kolonial yang dicetuskan melalui ilham Rumah Agnes Keith yang terkenal di bandar Sandakan. Lokasi selera inilah yang penulis ingin gelarkan ‘The Little England’.
Mana tidaknya, penulis seolah-olah dibawa terbang ke suatu tempat di luar Sabah sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di sini. Suasana rumah Inggeris dikelilingi taman ‘English garden’ berlatarkan hamparan rumput karpet hijau di atas bukit, satu mood setting yang sedikit berbeza dari kebiasaannya. Apa yang pasti, suasana hening di sini membuatkan anda seolah-olah berada di Eropah.
Disulami dengan dekorasi interior ala Inggeris yang padat, kami bagaikan dibawa untuk merasai sendiri bagaimana suasananya ketika menikmati sajian di zaman penjajahan kolonial Inggeris. Pelayan di sini mesra dan profesional, lantas memastikan setiap pengunjung yang datang dilayan bak seorang raja.

Mula membuka pintunya sejak 8 Disember 2002, ia menjadi salah satu lokasi selera wajib kunjung bagi pelancong dari seluruh dunia dan juga orang tempatan. Apa yang istimewanya, restoran ini menawarkan variasi pilihan hidangan tradisional Inggeris serta beberapa seleksi cita rasa Asia. Harga menu yang dikenakan juga amat berpatutan bermula sekitar RM10 hingga RM100.


Selain menjadi lokasi yang ideal buat mereka yang sedang berbulan madu, restoran ini turut menjadi tumpuan lokasi penggambaran bagi pasangan pengantin. Jika anda ingin merasai suasana yang romantis dalam percutian ke Sabah, jangan lupa untuk singgah sebentar di sini.

English Tea House and Restaurant Sandakan
No.2002, Jalan Istana, 90000 Sandakan, Sabah, Malaysia
T: 089-222-545
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.