Header Ads

Layanan Bak Putera Raja The Kahaani Malacca




Suatu ketika dahulu, mahligai mewah ini merupakan kediaman rasmi Gabenor Negeri Melaka. Setelah mengalami transformasi sebagai boutique villa, aura pesonanya begitu gah sehingga villa ini pernah menjadi tempat persinggahan bintang Bollywood terkenal, Datuk Shah Rukh Khan.

Bagaikan tidak percaya tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Sebuah villa berwarna putih berdiri megah berdiri kini terpampang di depan mata penulis. Teruja dengan keindahan dan pesonanya, kehadiran penulis bagaikan seolah-olah tetamu yang tidak diundang ketika pertama kali melangkah masuk ke pintu gerbang The Kahaani yang tersergam indah.   

Penulis disambut mesra oleh Nur Farisya Abdul Shukor, Pengurus Komunikasi Dan Pemasaran RHR dan juga seorang lelaki yang segak mengenakan pakaian sut hitam. Sejurus check in, penulis dibawa untuk melawat di setiap penjuru villa dua tingkat ini. Sekali lagi penulis terpana melihat intaian dekorasi interior rumah agam yang persis seperti sebuah istana moden.


Menjadi  boutique villa mewah pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat butler peribadi yang lengkap berpakaian seperti di zaman kolonial British. Maka, tidak hairanlah jika The Kahaani Malacca menjadi tumpuan pelancong-pelancong dari Eropah, US, England dan Singapura.

“Oleh sebab itu, anda tidak dapat melihat sebarang iron-board  pada ruang kamar. Servis, layanan dan kemudahan lengkap yang kami berikan bakal membuatkan setiap tetamu yang bertandang menerima layanan seolah-olah seorang putera raja,” kata Kamal Mohd Zaini yang bertindak sebagai Pengurus Operasi The Kahaani Malacca.


Mewah Dan Ekslusif, Uniknya Lain Dari Yang Lain

Bercerita mengenai setiap ruang inapan, setiap daripadanya adalah lain dari yang lain. Garapan elementasi yang berlatarkan seni alat muzik tradisional turut dimasukkan dalam olahan deko setiap ruang peribadi. Tetamu boleh memilih untuk di mana-mana inapan yang terdiri daripada Nafiri, Tzusumi, Angklung, Serunai, Kenong dan Rebana mengikut cita rasa mereka.

Tiga segmen inapan yang ditawarkan di The Kahaani terdiri daripada Premier Luxury Suites, Customary Luxury Suites dan Deluxe Suite. Apabila berada di ruang inapan ini, ia bagaikan membawa penulis seolah-olah berada di mahligai diraja. Setiap dekorasi bilik bercita rasa mewah ini sarat dengan susun atur perabot yang ditempah khas dari Itali.


Sesuai dengan konsep boutique villa, setiap tetamu yang datang pasti dapat merasa bahawa ruang villa ini bagaikan milik anda. Tambahan pula, setiap Luxury Suites dilengkapi dengan bilik tidur dan ruang tamu yang selesa dan ekstra luas berserta kemudahan tab dan jakuzzi. Jauh dari hiruk-pikuk kota, The Kahaani adalah inapan sempurna buat mereka yang sukakan privasi. 
Menatap dan mengelamun di luar jendela ruangan privasi yang elegan ini, penulis dapat melihat dengan jelas pemandangan hijau yang mengelilingi kolam renang yang besar. Buat mereka yang suka bersantai-santai di kolam renang, pasti masa seharian dapat dihabiskan secara berkualiti.

Sambil menikmati koktail, mereka boleh membaca novel kegemaran mahupun melayari internet menggunakan Ipad. Dengan kemudahan WiFi percuma yang meliputi seluruh kawasan villa, setiap tetamu pasti selesa untuk duduk bersantai di setiap penjuru  mahligai indah ini.


Sedia Penuhi Permintaan Para Tetamu

Istimewanya, tetamu yang menginap di sini boleh memilih hidangan kulinari dambaan mereka. Dengan bantuan dua orang chef in-house, masakan Itali, western mahupun  menu tempatan tidak menjadi masalah sama sekali untuk dihidangkan buat tetamu khas villa The Kahaani.

Sepanjang  berada di sini, penulis berpeluang untuk merasai kelazatan set hidangan barat yang disediakan oleh Sous Chef de Tournant, Mahizad Mansor. Dari pembuka selera hingga ke pencuci mulut, setiap hidangan yang bermula dengan German Potato Salad, Cream of Mushroom Soup, Rib eye Steak dan Bread Butter Pudding  telah berjaya membangkitkan selera penulis.

“Setiap chef mempunyai sentuhan dan resipi rahsia yang tersendiri dalam setiap persembahan makanan. Justeru itu, apa yang ditawarkan di The Kahaani pasti berbeza berbanding pengalaman-pengalaman kulinari di inapan yang lain pada sebelumnya,” terang chef kepada penulis.


Jika dilihat pada keluasan villa ini, The Kahaani berupaya untuk menjadi tuan rumah kepada majlis-majlis keraian dan perkahwinan. Pada satu-satu masa, villa ini mampu menerima kunjungan sehingga 400 ratus orang tetamu! Menurut Kamal, sempena pembukaan The Kahaani, resort ini telah menawarkan pakej perkahwinan istimewa dengan harga RM130 seorang dengan minimun bilangan tetamu seramai 200 orang.

Kebanyakkan barang-barangan antik yang terdapat di sini sebahagiaannya adalah merupakan koleksi Kerajaan Negeri Melaka dan juga Residence Hotels & Resorts Sdn Bhd. Selain dekorasi dari Itali, The Kahaani turut memaparkan sentuhan interior Baba dan Nyonya di ruang santapan.


Dengan tawaran sebegini, pasti villa ini akan menjadi tumpuan buat mereka yang ingin bergelar raja sehari. Tidak lupa juga buat mereka yang ingin berbulan madu. Buat percutian keluarga pula, tawaran harga inapan yang bermula serendah RM700 hingga RM2000 ini bakal menjadi sebuah mahligai mewah yang pasti memberikan keselesaan buat seisi keluarga.

Bagi penulis, tidak rugi jika anda bertandang ke sini. The Kahaani adalah simbol prestij boutique villa pada kelasnya yang tersendiri. Lantas, ia menjanjikan kepuasan dalam inapan. Apa yang pasti, servis yang ditawarkan di sini bakal menarik hati sesiapa sahaja yang gemarkan gaya percutian mewah dan elegan.


Lokasi The Kahaani

Lokasinya yang strategik di tengah-tengah bandar Ayer Keroh menjadikan inapan ini ideal buat mereka yang ingin mendapatkan akses mudah ke sekitar Bandar Warisan Dunia (UNESCO) Melaka. Apa yang menariknya, tetamu boleh mendapatkan khidmat shuttle yang disediakan oleh pihak The Kahaani untuk ke tempat-tempat pelancongan yang menarik ini.

Villa ini terletak di Taman Tasik Utama yang berhadapan dengan MITC Melaka. Sejurus keluar dari Tol Ayer Keroh Lebuhraya Utara-Selatan, pandu kenderaan anda menghala ke arah MITC Melaka menggunakan Leboh Ayer Keroh. Sehingga berjumpa satu simpang empat (Kota Cemerlang), ambil simpang ke kanan. The Kahaani akan berada di sebelah kanan anda.

The Kahaani diuruskan oleh Residence Hotels & Resorts Sdn Bhd yang terkenal dengan tiga resort inapannya di seluruh Malaysia iaitu Residence Hotel@Universiti Tenaga Nasional Putrajaya, Residence Resort Paka, Terengganu dan Residence Desa Lagoon Resort  Port Dickson.


Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

The Kahaani Malacca
Jalan TU1, Taman Tasik Utama,
75450, Ayer Keroh,
Melaka.
T: 06-231 3712 W: www.thekahaani.com
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.