Header Ads

CLEARWATER SANCTUARY SAKSI CINTA ‘ANNA AND THE KING’



Clearwater Sanctuary Golf Resort merupakan sebuah resort yang pernah menjadi lokasi set penggambaran Anna and the King, sebuah filem sebutan ramai yang ditayangkan pada tahun 1999. Sanctuary - Satu perkataan yang membangkitkan ketenangan, kedamaian dan keharmonian alam semula jadi. Wujudnya bagaikan berada di tempat yang tidak pernah terusik yang menyelubungi pesona Clearwater Sanctuary Golf Resort.

Bagaikan taman khayalan, begitulah apa yang dapat digambarkan penulis tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Mana tidaknya, keindahan tasik seluas 350 ekar dan sekitarnya memang menggamit mata memandang. Dahulunya, kawasan seluas 1000 ekar ini merupakan tapak lombong bijih timah Lembah Kinta. Kini, ia benar-benar berubah wajah.

Antara akhir tahun 1998 hingga pertengahan 1999, 2.4 hektar padang rumput telah dibersihkan untuk membina set filem penggambaran filem epik ‘Anna and the King’. Jika anda bertandang ke sini, struktur replika indah Mahkamah Siam yang diperbuat menggunakan polistirena, fibreglass dan plasterceil masih boleh dilihat hingga ke hari ini.

Malah, para tetamu yang menginap di sini boleh menonton filem ‘Anna and the King’ yang membariskan pelakon terkenal seperti Jodie Foster dan Chow Yun-Fat secara terus di kamar penginapan anda.


Seperti namanya, Clearwater Sanctuary Golf Resort merupakan tempat tumpuan para pecinta sukan golf. Golf merupakan permainan tradisi yang dibawa dari negara Scotland. Kini permainan ini berkembang sehingga menjadi salah satu sukan paling berprestij buat golongan elit. Kemudahan yang ada di sini pasti akan membuatkan penggemar golf serata dunia untuk kembali ke sini.

Uniknya, resort golf ini menawarkan lapangan golf 27 lubang yang direka oleh Tim Woolbank. Tiada gambaran lain melainkan kepuasan apabila para pecinta sukan golf dapat menikmati keindahan alam semula jadi sambil menghayunkan bola ke sasaran. Umumnya, Clearwater Sanctuary adalah destinasi percutian yang ideal untuk pemain golf bagi mengisi masa lapang dan keseronokan.
Jadi Tumpuan Pencinta Burung

Hari ini, Clearwater Sanctuary telah memperoleh reputasi sebagai sebuah tempat perlindungan kepada habitat burung. Pusingan ekologi yang sempurna telah menarik minat sang bangau, burung raja udang, rajawali dan pelbagai spesis lain untuk berterbangan bebas dan bertenggek di pohon yang rendang.


Peminat burung semestinya tidak akan melepaskan peluang melihat sendiri keletah burung yang menyelinap di sebalik ketenangan dan keharmonian flora dan fauna. Jika bertandang ke sini, jangan lupa bawa teropong dan alatan yang sesuai untuk menjalankan aktiviti ini.

Andai ada burung tentulah ada ikan. Di sini, para pemancing tegar pasti teruja memasang gewang bagi memburu Snakehead Striated (Haruan), Tin Foil Barb Malaysia (Lampan Sumatera), impuls, Giant Gorami (Kalui), Rohu dan spesies yang jarang ditemui seperti Temoleh yang juga dipanggil sebagai ikan Tamalian.

Makan sambil menikmati udara dan bunyi sang unggas memang sungguh mengasyikkan! Penulis turut tidak lepaskan peluang untuk berkelah dan juga barbeku(BBQ)  di malam hari di tepian tasik sambil melontar joran.


Inapan Chalet Tepian Tasik

Tiada apa yang lebih indah selain menginap 30 chalet menghadap tasik. Kemudahan bilik yang disediakan juga amat memuaskan. Ia merangkumi kelengkapan seperti penghawa dingin, siaran Astro, balkoni, bar dan jakuzi.

Tatkala berada di sini, penulis dapat menikmati kedinginan suasana berkabus tasik yang sungguh mempesonakan di pagi hari dan juga panorama indah tatkala matahari terbenam. Melihat apa yang disajikan, maka tidak hairanlah jika resort ini menjadi pilihan lokasi penggambaran filem ‘Anna and the King’. Sekali imbas, kawasan Clearwater Sanctuary ini bagaikan berada di luar negara.

Menatap, mengelamun dan melontarkan pandangan jauh sambil disulami kilauan air tenang pasti membuatkan anda tidak sedar masa berlalu begitu pantas. Sekali-sekala memerhati pepatung berterbangan dan bertenggek pada kelompok teratai dan bunga lily pula pasti mententeramkan jiwa.

Bagi penulis, resort ini merupakan jalan keluar kepada gaya hidup santai, sama ada untuk bercuti bersama keluarga mahupun buat pasangan bercinta mencari hujung minggu yang romantik.


Kelazatan Kulinari Yang Enak

Kemudahan lengkap yang disediakan pasti tidak mencukupi andai tidak mencuba apa yang ada di menu. Di sini, anda boleh memilih sama ada untuk makan di Lakeside Terrace atau Poolside Food Podium. Pasti enak makan sambil dikelilingi oleh pemandangan panorama indah sambil menikmati sensasi masakan yang dihidangkan chef pakar. Boleh dikatakan bahawa resort ini juga merupakan tempat yang ideal untuk aktiviti korporat, parti, makan malam dan juga perkahwinan. 

Kemudahan

Antara kemudahan lain yang ada di Clearwater Sanctuary Golf Resort ialah:
  •          Kolam Renang Tropika dewasa dan kanak-kanak beserta jakuzi.
  •          Gelanggang tenis indoor/badminton/ping pong/bola keranjang/bola tampar/futsal.
  •          Reflexology path/ canoeing cruise/ children centre/ kids funland/spa.
  •          Lapangan Memanah/ kemudahan gym/tapak berkelah/ fishing clubhouse.



Lokasi 

Lokasi Clearwater Sanctuary Golf Resort terletak berhampiran Kellie’s Castle yang merupakan tempat bersejarah yang ada di Batu Gajah. Pemanduan selama 10 minit dari resort akan membawa anda ke sana. Sambil itu, jangan lupa untuk singgah ke Restoran Nasi Lemak Ayam Golek Batu Gajah untuk mengalas perut.

Perjalanan selama tiga jam dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) menghala ke arah utara. Anda boleh memilih untuk keluar di susur Simpang Pulai atau Gopeng. Setelah keluar, ikut arah Batu Gajah dan teruskan pemanduan menghala ke Clearwater Sanctuary Golf Resort.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi:
Clearwater Sanctuary Golf Resort
T: +(6)05 366 7433 F: +(6)05 366 7434 E: cwsgolf@po.jaring.my W:www.cwsgolf.com.my
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.