Header Ads

BERTEMU ‘WALLY SI IKAN GERGASI’ DI GREAT BARRIER REEF


Hari ini, tidur yang panjang dalam suasana keheningan resort Peppers Beach Club & Spa Palm Cove terpaksa saya lupakan kerana ada suatu perkara yang tidak harus dilepaskan. Berpeluang untuk menikmati sendiri keindahan Great Barrier Reef mungkin menjadi peluang yang hanya dapat dilakukan sekali seumur hidup

Suasana pagi di Cairns amat mendamaikan sewaktu perjalanan penulis dari Palm Cove menuju ke Cairns Reef Fleet Terminal. Suasana di sini tak jauh bezanya dengan suasana tropika di Malaysia, namun udara di Cairns terasa lebih segar yang diadun dengan pemandangan indah 360 darjah. Pandanglah ke mana jua, pasti mata anda akan terpegun dengan panorama yang ada di sini. Setelah 30 minit perjalanan, kami tiba di terminal.

Setelah mendapatkan tiket, kami menaiki sebuah bot catamaran yang tertera dengan nama ‘Reef Magic’. Sebelum memulakan perjalanan, penulis diberi pilihan sama ada untuk melakukan “helmet diving” atau “introductory diving”, di mana mereka yang belum pernah melakukan aktiviti menyelam dapat melakukan aktiviti ini dengan bantuan pelatih professional. Saya sendiri memilih untuk melakukan helmet diving kerana ia adalah salah satu aktiviti yang lebih santai dan belum pernah dicuba sebelum ini.

Perjalanan yang mulanya tampak lancar tiba-tiba menjadi sedikit bergelora apabila catamaran iaitu bot besar yang penulis naiki dipandu laju. Mujur perjalanan menuju ke Marine World tidak mengambil masa yang lama. Penulis dapat melihat keramahan krew Magic Reef Cruises yang membantu para penumpang lain yang mengalami mabuk laut.


Meneroka Marine World

Setibanya di Marine World, rasa mabuk laut hilang dengan sendirinya. Menurut salah seorang krew, mabuk laut hanya dirasai sewaktu perjalanan pergi kerana catamaran yang kami naiki melawan arus. Memang benar kerana sewaktu perjalanan balik penulis tiada mengalami sebarang simptom mabuk laut.

Aktiviti pertama yang saya dan rakan-rakan media yang lain berpeluang untuk lakukan ialah Helipad Tour dimana kami dibawa untuk menaiki helikopter untuk meninjau di sekitar perairan Great Barrier Reef. Suatu pengalaman yang jarang untuk dikecapi, apatah lagi ketika berada di Queensland.

Berada di udara selama 10 minit berada di udara sungguh mengujakan. Perairan biru yang dihiasi formasi pembentukan karang yang tampak kehijauan warnanya sungguh indah dari sudut mata burung. Melihat keindahan yang dipaparkan, maka tidak hairanlah jika Great Barrier Reef disenaraikan sebagai tapak warisan dunia UNESCO serta salah satu tempat yang harus dilawati di Cairns.

Setelah menghabiskan pengembaraan di udara, tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke dasar air Great Barrier Reef. Untuk melakukan aktiviti air, krew di Marine World turut membantu penulis untuk mendapatkan pakaian wet suit yang sesuai dan peralatan seperti topeng, snorkel dan sirip. Sebelum melakukan aktiviti snorkeling, penulis terlebih dahulu melakukan aktiviti “Underwater Observatory” atau “Helmet Diving”.


Bertemu Wally!

Secara ringkasnya, aktiviti ini adalah berjalan di platform air menggunakan helmet khas sebagai alat bantuan pernafasan. Setiap sesi mengambil masa  kira-kira setengah jam dan empat orang peserta boleh mengikuti aktiviti ini pada satu-satu masa. Sewaktu berada di dalam air, penulis tercari-cari kelibat Wally, ikan gergasi ikan dari spesies Maori Wrasse yang berwarna biru dan jalur kuning di hujung ekornya. Wally sememangnya menjadi tarikan utama aktiviti ini.

Setelah beberapa seketika berada di dalam air, ahli marin biologist memberikan isyarat bahawa ada sesuatu yang sedang menghampiri kami. Rupa-rupanya Wally datang dari arah belakang penulis tanpa disedari. Sememangnya, Wally sememangnya bersaiz gergasi seperti apa yang digambarkan. Ditemani kehadiran ratusan ikan-ikan lain yang pelbagai bentuk dan warna melengkapi keindahan dasar laut yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Perasaan teruja bercampur sedikit gerun tatkala berpeluang untuk menyentuh Wally. Tekstur kulitnya terasa sedikit kasar Wally kelihatan seperti sudah biasa menerima kehadiran tetamu. Tanpa melepaskan peluang, jurugambar kami merakam foto berharga untuk tatapan kenang-kenangan bersama Wally.

Usai menghabiskan aktiviti helmet diving, saya tidak melepaskan peluang untuk melakukan snorkeling di sekitar  Marine World sehingga waktu mencemburui keberadaan penulis di sini. Sememangnya, liburan penulis di Great Barrier Reef merupakan sebuah pengalaman yang berharga. Saya juga berharap agar dapat bertamu semula di Cairns suatu hari nanti.

Makanan Halal
Mendapatkan makanan halal turut tidak menjadi masalah kerena penulis boleh menikmati hidangan vegetarian, seafood dan buah-buahan tropika segar. Jadi, tiada istilah perut lapar setelah seharian menghabiskan masa di Great Barrier Reef. Tambah menarik, air teh dan kopi juga dihidangkan secara percuma sepanjang hari.

Pengangkutan
Penulis menaiki pesawat Singapore Airlines dari KLIA-Changi-Brisbane sebelum meneruskan perjalanan dari Brisbane ke Cairns menggunakan pesawat Virgin Airlines. Untuk ke Marlin Jetty, terdapat perkhidmatan shuttle yang disediakan dari ruang lobi hotel yang berharga 18-22 dolar.

Inapan
Terdapat banyak pilihan inapan yang terdapat di Cairns Penulis menginap di Peppers Beach Club & Spa Palm Cove, sebuah resort yang dilatari pepohon tropika dengan kolam renang berkonsep pantai. 

Tarikan Reef Magic Cruises

Terdapat banyak lagi tarikan yang ditawarkan untuk anda yang mengikuti pelayaran bersama Reef Magic Cruises. Antaranya ialah Glass Bottom Boat Tours, urutan terapi Reef Magic, berjemur di sun-longes dan Marine Biologist Presentation, mendapatkan khidmat jurugambar professional serta membeli cenderahati. Selain itu, Reef Magic Cruises turut menawarkan perkhidmatan charter ke Fitzroy Island, Green Island, Reef Opulence dan Harbour Cruises Cairns.

Info 
Buat mereka yang ingin bertandang ke Cairns pada bulan Julai sehingga bulan September, jangan lepaskan  peluang untuk mengikuti trip “Whale Watching” bersama Reef Magic Cruises untuk menjejaki ikan paus spesies Humpback Whale yang berhijrah di perairan Cairns pada setiap tahun.

Itinerari Magis Reef Cruises
8:00-8:30            Daftar masuk di dalam Cairns Reef Fleet Terminal, 1 Spence Street.
09:00                    Bertolak dari Marlin Jetty Cairns. (Masa perjalanan hanya 90 minit dari Cairns menggunakan bot catamaran)
10:30                    Tiba di Marine World di perairan Great Barrier Reef.
Tempoh berada di Reef: 5 jam
15:30                    Berangkat pulang ke Marlin Jetty dari Marine World.
17:00                    Kembali di Cairns.


Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila layari www.reefmagiccruises.com
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.