Header Ads

Aura Klasik The Eastern & Oriental Hotel Penang


Ketibaan kapal stim di perlabuhan Pulau Pinang suatu masa dahulu menandakan bermulanya era kolonial di Tanah Melayu. Kedatangan bangsa asing ini turut membawa budaya dan kemewahan penjajah bersamanya. Di sebalik sejarah yang panjang, lahirlah sebuah hotel pada tahun 1885 yang kini dikenali sebagai The Eastern & Oriental Hotel.

Menjejak kaki dan menginap hotel mewah merupakan peluang yang jarang dikecapi buat orang kebanyakkan seperti penulis. Justeru itu, peluang melakar tinta dan menyingkap tabir salah satu hotel tertua di Malaysia merupakan peluang keemasan yang sukar ditolak. Penulis berpeluang untuk menginap di Eastern & Oriental selama tiga hari.

Mereka yang seringkali  berlibur sekitar tanah air sudah tentu mengetahui prestij dan kemewahan The Eastern & Oriental Hotel. Terletak di Lebuh Farquhar, hotel ini amat berhampiran dengan Terminal Feri Pulau Pinang dan Penang Road. Penang Road merupakan tempat sebagai syurga beli-belah dan makan-makan.

Diasaskan oleh Sarkies bersaudara, mahligai mewah ini telah berdiri gah sebelum Terusan Suez dibuka pada tahun 1869. Setelah mengharungi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, E&O masih pada keadaan asalnya meskipun terdapat banyak aktiviti baik pulih dan renovasi. Penulis sendiri merasakan masih banyak ciri-ciri asal hotel masih dikekalkan pada bangunan asal hotel yang telah mencecah usia ratusan tahun.

Pesona Klasik British

Jika dilihat pada mata kasar, hiasan klasik Inggeris yang digayakan pada Heritage Wing dan Victory Annexe tentunya memberikan mood klasik, mewah dan elegan. Penulis berasa amat teruja  tatkala mengkaji nilai estetika dan sejarah pada deko yang dipertontonkan. Antaranya hiasan klasik yang ditonjolkan termasuklah suis pemetik lampu, katil, almari, telefon, lif dan lukisan dinding.

Elemen klasik E&O tidak hanya bertumpu kepada hiasan semata-mata. Pihak hotel turut mengekalkan tradisi servis butler 24 jam dan khidmat pelayan. Pakaian staf-staf hotel turut memperlihatkan gabungan pakaian tradisi dan British moden yang menaikkan mood zaman kolonial. Melihat  kepada servis yang diberikan, penulis percaya setiap tetamu di sini menerima layanan bak seorang raja.

Tatkala melangkah masuk ke bilik, penulis berasa terpana melihat bilik penginapan yang besar dan mewah mengadap laut. Ia didatangkan bersama kelengkapan bilik mandi, sofa dan ruang membaca yang amat selesa. Pendapat peribadi penulis, kalau bukan kerana tugasan sudah tentu penulis akan berkurung sepanjang hari di sana!

Eastern & Oriental acap kali menerima tempahan majlis keraian dan perkahwinan. Penulis berasa terpanggil untuk melihat grand ballroom hotel. Melihat sendiri dekorasi ekslusif dan kemewahan yang ditonjolkan pada tata rias grand ballroom, maka tidak hairanlah Eastern & Oriental menjadi lokasi impian pilihan bakal raja sehari.

Jadi Tumpuan VIP

Hotel ini menjadi persinggahan kerabat diraja seluruh dunia dan juga tokoh-tokoh terkemuka sejak seabad yang lalu. Antaranya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. “Tetamu hotel boleh melihat potret tokoh-tokoh ini yang diabadikan di suatu sudut antara lobi hotel dan menuju ke kolam renang,” ujar Marilyn Kek, Pembantu Tadbir E&O.

Bagi yang meminati dunia sastera dan hiburan lama, anda pasti mengenali nama-nama seperti Pickford Mary, Douglas Fairbanks, Noel Coward, Rudyard Kipling, Somerset Maugham dan Hermann Hesse. Menariknya, hotel mewah turut menyimpan cerita mengenai mereka yang banyak berkarya di sini. Maka jangan terkejut jika ada di antara mereka yang diabadikan namanya dalam ‘writer suites’ seperti Rudyard Kipling.

Bagi penulis, E&O telah menjadi saksi pelbagai  kisah suka dan duka sejarah bermula sejak era kolonial. Dalam mengharungi perjalanan masa yang panjang, hotel ini dilihat mampu mengekalkan pesonanya hingga ke hari ini. Buktinya, penulis sendiri merasa bagai ‘hidup’ di zaman kolonial British sepanjang berada di sana.


Jamu Selera Berlatarkan Memoir Klasik Era Kolonial

Pulau Pinang kaya dengan pelbagai pilihan makanan daripada pasembor, nasi kandar, rojak dan bermacam lagi. Namun, kali ini kita ubah selera. Menginap di hotel klasik citarasa juga kena berubah. Hotel E & O contohnya, turut menyediakan pelbagai hidangan enak sesuai untuk citarasa anda. 

Hotel E&O turut terkenal oleh masyarakat setempat dan luar dek kehebatan masakan tempatan dan antarbangsa. Penulis sendiri berpeluang merasai keenakan sajian bufet The Sarkies Corner. Sebut sahaja apa yang anda idamkan, masakan hainan, sushi, pasta Italy mahupun masakan panas, semuanya ada disajikan di restoran yang beroperasi di Victory Annexe yang dibuka pada penghujung 2011.

Jika anda menginginkan privasi dan sajian ala carte, 1885 pasti tidak akan mengecewakan. Restoran 1885 diberi nama sempena tahun pembukaan hotel ini menawarkan masakan klasik kontemporari dalam suasana tradisi Inggeris. 

Selain The Sarkies Corner dan 1885, hotel ini turut menyediakan restoran yang menyajikan sajian kek, roti dan pastri. The Bakery yang beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam pasti memenuhi selera pengunjung untuk menikmati kudapan bersama teh atau kopi.

The E&O Hotel: Pearl of Penang

Sejarah agung hotel E&O turut diabadikan dalam sebuah karya yang dikarang oleh Ilsa Sharp. Buku bertajuk The E&O Hotel: Pearl of Penang boleh didapati di E&O Hotel Bombay Shop dengan harga RM188.50. Buku ini menceritakan sejarah dan zaman kegemilangan E&O hingga ke hari ini.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi:
The Eastern & Oriental Hotel
T: +(6) 04 222 2000 F: +(6) 04 261 6333 E: luxury@eohotels.com W: www.eohotels.com
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.