Header Ads

10 TIP BULAN MADU SECARA BAJET


Kadangkala, sudah menjadi kebiasaaan buat pasangan yang baru baru berkahwin atau pasangan yang ingin pergi berbulan madu tetapi mempunyai bajet yang terhad. Justeru itu, terdapat beberapa cara untuk menjadikan percutian romantik anda sebuah percutian yang tidak membocorkan poket anda.

Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk berbulan madu secara bajet. Misalnya, menyediakan makanan sendiri untuk dinikmati di tepi pantai atau berkelah pastinya kedengaran amat romantik. Pergi ke pasar raya tempatan untuk menyediakan sendiri hidangan mudah seperti sandwich, buah-buahan dan sebagainya. Anda pasti dapat menjimatkan wang di samping memberikan kenangan saat bulan madu yang indah. Jum ikuti 10 tip bulan madu secara bajet.

1. Lakukan Persediaan Awal
“Kesalahan yang besar yang orang sering lakukan ialah tidak mengetahui ke mana destinasi atau hotel yang dia bakal pergi,” kata Knipp dalam siri buku kembaranya. Setelah mengetahui ke mana destinasi yang anda ingin tuju, buatlah sedikit kajian dengan  malayari laman sesawang seperti TripAdvisor.com atau Concierge.com untuk mengetahui apa yang dikatakan  oleh pengembara yang pernah bertandang ke sana. Dengan ini, anda mungkin menemui inapan dan destinasi yang seiiring dengan bajet anda.

2. Semak Semula Pakej Yang Ditempah
Sebelum menekan butang transaksi atau pengesahan, sila rujuk semula pakej yang ditawarkan oleh hotel atau pun agen pelancongan. Jika anda merasa ragu-ragu atau inginkan maklumat lanjut, ringan-ringankan tangan untuk menghubungi mereka. Kebanyakkan resort ada menawarkan promosi yang mungkin anda tidak ketahui. Inapan mungkin didatangkan dengan sarapan percuma atau diskaun hebat untuk merehatkan diri di spa atau pun tarikan-tarikan yang ada di sekelilingnya.

3. Selalu Melayari Laman Sesawang Promosi
Laman sesawang seperti Grupon dan MyDeal.com sering memberikan diskaun-diskaun hebat di mana pakej yang ditawarkan lebih murah daripada harga asal. Selalunya, pakej yang didatangkan lengkap bersama penerbangan dan tawaran-tawaran istimewa yang lain. Pun begitu, jika ada laman sesawang yang baru seumpamanya, sentiasa berwaspada kerana kita tidak mengetahui kredibiliti laman sesawang tersebut. Sentiasa lakukan penyelidikan untuk menghindarkan anda daripada terkena penipuan sindiket atau ‘scam’.

4. Berbincang Bersama Pasangan
Pakar yang selalu harus dirujuk tentulah pasangan anda sama ada si suami atau isteri. Sungguhpun anda mempunyai bajet terhad, ini tidak bermakna ianya tidak boleh menghadirkan sebuah percutian yang indah. Selalu berbincang bersama pasangan anda supaya kedua-duanya gembira dengan destinasi yang anda pilih. Sentiasa peka dengan apa kemahuan anda dan pasangan dan mengetahui objektif sebenar untuk pergi berbulan madu. Dengan ini, anda boleh membuat keputusan bersama dan mengelakkan orang ketiga dari memberi pendapat.

5. Jadilah Pasangan ‘Tersebut’
Tidak rugi untuk memberi tahu pihak hotel atau agen pelancongan bahawa anda adalah pasangan yang baru berkahwin dan ingin berbulan madu. Ini kerana kebanyakan hotel ada menyediakan pakej atau hiasan istimewa buat anda. Katil anda mungkin akan dihiasi dengan kuntuman bungan ros dan banyak lagi kejutan istimewa. Meskipun ia adalah kejutan yang kecil, namun perkara yang kecil inilah yang selalunya memberi kesan istimewa terhadap percutian bulan madu anda.

6. Sentiasa Fleksibel Dalam Pengangkutan
Kadangkala, anda perlu banyak berjimat dalam berbelanja untuk pengangkutan. Kelas kedua untuk penerbangan mungkin sedikit tidak selesa, namun banyak wang dapat dijimatkan untuk disalurkan untuk penginapan dan percutian anda. Semasa di tempat percutian pula, menyewa basikal atau motosikal juga dapat memberi extra keseronokan dan sedikit sentuhan romantik berbanding menyewa kereta. Justeru itu, sentiasa fleksibel dalam memilih kenderaan anda.

7. Bercuti Di Tempat Berhampiran
Kadangkala, anda tidak perlu pergi jauh untuk mengecapi percutian indah. Mungkin, pasangan anda tidak pernah bercuti di tempat tersebut. Inilah masa untuk menjadi seorang ‘travel guide’ yang baik untuk pasangan anda. Si dia pasti berbangga dengan pasangannya yang sedikit sebanyak mengetahui selok-belok di destinasi percutian tersebut dan sentiasa berasa selamat untuk berada di sisi anda.
8. Ambil Kesempatan Di ‘Low Season’
Rancang awal bulan madu anda di luar musim percutian dan hari minggu. Selalunya, resort-resort dan destinasi yang anda ingin tuju tidak sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin pergi bercuti, Harga inapan dan penerbangan yang ditawarkan juga selalunya lebih murah dari kebiasaannya. Malah, percutian anda secara automatik menjadi sesuatu yang lebih privasi dan menyenangkan.

9. Keluar Dari Zon Selesa
Inapan yang bukan hotel kadangkala menjanjikan tidur yang lebih selesa di dalam persekitaran semula jadi. Menempah kotej atau chalet yang berlatarkan suasana hutan pastinya menjadikan percutian anda lebih tenang dan sunyi. Jika anda dan si dia gemarkan pantai, banyak resort-resort yang menawarkan inapan yang murah yang berhadapan dengan pantai. Pastinya, banyak perkara yang boleh dilakukan andai bijak merancang dan berbelanja.

10. Bercuti Dalam Negara
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, banyak tawaran-tawaran istimewa yang ditawarkan oleh operator tempatan. Justeru itu, tidak salah untuk merancang bulan madu anda di dalam negara yang kaya dengan destinasi tanah tinggi, pulau-pulau yang menakjubkan dan pantai yang indah. Sentiasa rujuk majalah percutian dan melayari laman internet untuk mendapatkan idea-idea untuk percutian bulan madu yang bakal tiba nanti.


Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.