Header Ads

TENGGELAM DALAM PESONA SWISS GARDEN GOLF RESORT & SPA DAMAI LAUT


Pengalaman menghabiskan masa seharian di Damai Laut tidak pernah mengecewakan. Bermula dari saat penulis membuka mata sehingga kembali ke kamar penginapan, setiap saat dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang menjadikan percutian kali ini penuh bermakna.



Menatap suria pagi sambil melontarkan pandangan jauh menghadap Selat Melaka pasti memberikan pengalaman berbeza dari tirai kamar Deluxe Sea View. Oleh itu, tidak hairanlah jika penginapan kategori ini menjadi rebutan ramai khususnya tatkala hujung minggu menjelma.


Ruang penginapan amat selesa dengan katil yang empuk dan penghawa dingin yang senyap. Tiada bunyi bising atau sebarang gangguan, yang ada hanyalah deruan angin dan bunyi ombak yang menyambut kedatangan pagi. Tidak pun, bunyi itu datang dari tv satelit yang turut menawarkan saluran ESPN dan Discovery Channel yang menjadi kegemaran penulis.


Sejak pertama kali melangkah masuk ke bilik penginapan lagi, penulis amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan. Bagi penulis, apa lagi yang hendak dipinta andai alatan sanitari asas seperti berus gigi dan pisau pencukur pun turut disediakan. Di sini, anda boleh memilih untuk mandi menggunakan tab atau pancuran mandian air panas. Jika tidak, tidak salah untuk menghabiskan sedikit masa di kolam renang.


Buat pengetahuan anda, selain dilengkapi kemudahan sebanyak 300 deluxe room, Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut tampil istimewa dengan penampilan elegan sepuluh unit Swiss-Villa. Seperti sebuah kediaman, kawasan yang dikelilingi kehijauan padang golf ini dilengkapi empat bilik dengan dekorasi interior yang menarik. Buat mereka yang berkeluarga, villa sebegini pastinya bakal menjadi pilihan utama. Tambahan pula, setiap tetamu dibenarkan untuk memasak dan makan di sana.


Aktiviti pagi dimulai dengan sarapan pagi di The Garden Terrace. Gabungan sarapan lokal dan barat boleh dinikmati di sini. Antara menu yang mencuri perhatian penulis adalah nasi lemak dan murtabak telur yang dinikmati bersama kari ayam. Memang menyelerakan!


Jika penulis ingin bercerita tentang kulinari, pastinya ruangan artikel ini tidak cukup untuk menggambarkan betapa seronoknya menjamu selera di sini. Sebut sahaja apa yang didambakan, bermula dari sajian Thai di  Blosssom & Thai Taste Restaurant pada waktu tengah hari  atau seleksi makanan laut yang dipanggang segar di The Gayam Seafood Barbecue pada malam hari, semuanya dapat dinikmati di bawah satu bumbung resort Damai Laut.


Buat peminat sukan golf, peluang bermain di lapangan golf 18 lubang yang diselimuti panorama menghijau yang direka oleh pemain golf Amerika terkenal Ronald Fream pasti tidak boleh dilepaskan. “Setiap lubang mempunyai karekter tersendiri yang bakal menguji keupayaan setiap pemain golf. Di samping itu, ia turut memberi nilai tambah kepada resort ini dengan pemandangan yang memukau,” kata-kata yang dipetik dari Ronald Fream sewaktu proses pembinaan lapangan golf ini suatu ketika dahulu.


Apa yang mencuri tumpuan penulis ialah pengalaman meredah lautan biru menggunakan perkhidmatan ‘Pangkor Drop’. Ia disediakan pihak resort yang boleh dinikmati dengan bayaran sebanyak RM50 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak. Keistimewaan servis ini ialah anda akan dibawa menaiki bot dari jeti resort ke Pulau Pangkor secara ekslusif. Bagi penulis sendiri, ini adalah kali pertama penulis sampai ke Jeti Pangkor menggunakan bot. Sungguh menyeronokkan!


Selain Pangkor Drop, aktiviti-aktiviti yang mencuri tumpuan yang ada disediakan ialah Sunset Cruise, Deep Sea Fishing, Jungle Walk, Trailer Ride dan Banana Boat. Buat anda yang sukakan aktiviti tepi pantai, jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri kenderaan ATV yang lasak. Yang pastinya, semua pakej-pakej ini dikendalikan sendiri oleh pihak Damai Laut Resort.



Selain penginapan, makanan dan servis yang sungguh menarik hati, penulis secara peribadi memuji keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan warga Damai Laut. Di samping itu, komitmen dan kreativiti yang ditonjolkan dalam setiap penampilan resort pasti akan menggamit penulis untuk bertandang semula ke sini.



Semestinya, buat mereka yang sedang bercita-cita untuk mengalami satu percutian yang hebat, anda harus menjejakkan kaki ke sini untuk mengalami sendiri kelainan yang ditawarkan oleh resort Damai Laut.



Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut
Persiaran Swiss-Garden Jalan Damai Laut, Jalan Damai Laut, Off Jalan Teluk Senangin, 32200 Lumut, Darul Ridzuan, Perak
T: 05-684 333 W: 
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.