Header Ads

MUZIUM PENDIDIKAN NASIONAL UPSI


Mereka yang bersekolah dari zaman 60-an hingga tahun 90-an, pastinya suasana di bilik darjah sedikit berbeza dengan anak-anak moden. Buat anda yang ingin menggamit kembali nostalgia ketika bergelar pelajar, jangan lepaskan peluang untuk bertandang ke muzium ini.


Berdirinya muzium ini adalah di sebuah bangunan yang diberi nama Suluh Budiman yang terletak di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Ia mula dibina sejak Ogos 1919 dan siap sepenuhnya pada Jun 1922. Pelan bangunan ini dilakar oleh seorang arkitek terkenal dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bernama Kestiven.


Rekaan bangunan Suluh Budiman mempunyai unsur seni bina ala gothic zaman pertengahan dimana rekaan sebegini dapat dilihat secara jelas menyamai reka bentuk gereja Notre-Dame di Perancis dan Salisbury di England. Bangunan ini telah digazetkan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 14 Febuari 2009.

Bermula 24 Ogos 2009, kerja-kerja konservasi bangunan telah dijalankan bagi menepati kehendak prasarana dan infrasruktur yang diperlukan dalam usaha menaik taraf Muzium Sultan Idris Training College (SITC) yang kini dikenali dengan nama Muzium Pendidikan Nasional UPSI.


“Muzium ini telah siap sepenuhnya pada bulan Mac 2011. Upacara perasmian telah diadakan pada 19 Julai 2011 dan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun. Muzium ini mengandungi satu ruang pameran bertema dan 20 ruang pameran kekal,” ujar Penolong Kurator Muzium, Muhammad Zu Shimalain dalam taklimat ringkasnya.


Jasa tokoh-tokoh pendidikan negara serta perkembangan sejarah  pendidikan negara dalam didokumentasikan dalam bentuk terowong masa di setiap ruang pameran. Selain itu, bahan rujukan penting dalam sejarah pendidikan negara tersimpan rapi di sini. Antaranya, Laporan Rahman Talib 1960, Penyata Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1915.


Bagaikan sebuah mesin masa, barang-barang nostalogia yang dipamerkan di sini. Kapur tulis, papan hitam, mesin taip, kerusi dan meja kayu mungkin makin pupus ditelan arus kemodenan. Ia dipamerkan untuk menggambarkan suasana bilik darjah pada suatu masa dahulu.

Turut mencuri tumpuan E.L.F ialah peralatan makmal, buku teks, buku latihan dan alat permainan zaman persekolahan kanak-kanak 80an, mesin taip Perkings Brailer digunakan oleh pelajar buta sekitar 1950-an, alatan bengkel subjek Kemahiran Hidup, basikal yang digunakan oleh guru-guru untuk pergi mengajar dan meja yang pernah digunakan oleh Pendeta Za’ba.

Kredit Foto: Mie Halimi

Bagi E.L.F, kewujudan muzium ini  turut menjadi penyumbang dalam industri  pelancongan negara di mana ia menjadi satu lagi destinasi tarikan pelancong berasaskan pendidikan. Ia adalah tempat liburan yang baik buat mereka yang ingin menyelami dengan lebih mendalam mengenai sejarah dan perkembangan pendidikan negara.


Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.