Header Ads

TRAVEL TIPS: MENGHADAPI MABUK LAUT


Mabuk laut seringkali terjadi apabila kita melakukan aktiviti yang melawan arus ombak yang kuat. E.L.F sendiri pernah mengalami dua situasi mabuk laut yang 'teruk', iaitu ketika melakukan aktiviti candat sotong di Pulau Kapas dan juga ketika perjalanan menuju ke Great Barrier Reef di Cairns, Australia.

Kebiasaaannya, orang yang mudah terkena mabuk laut akan cuba  mengelak bila diajak untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang pernah mereka ikuti. Orang itu mungkin anda, ahli keluarga anda mahupun rakan-rakan. Alasannya mudah, tak tahan dilambung ombak dan mudah terkena mabuk laut.

Simpton mereka yang diserang mabuk laut - akan berasa pening, loya-loya dan muntah. Sekali imbas tidak ubah bagai orang yang baru mengandung tiga bulan. Mabuk laut juga seringkali dikaitkan dengan alunan ombak yang kuat lantas mengakibatkan bot berayun.

Justeru itu, pelbagai petua dan cara yang diberikan oleh mereka yang berpengalaman bermain dengan dunia lautan. Namun, ada sesetengahnya haruslah dielakkan jika menjurus kepada amalan khurafat seperti memakai tangkal dan sebagainya.

Altenatifnya, pelbagai kaedah sains, perubatan dan biologi yang boleh kita cuba untuk menghindari mabuk laut. Berikut adalah beberapa petua yang boleh dicuba dan dipraktikkan sebelum  memulakan perjalanan di perairan biru.

Cara Kurangkan Mabuk Laut

Alas Perut - Jangan biarkan perut anda kosong sebelum memulakan perjalanan. Sebaiknya makan sedikit makanan yang mampu memberikan sedikit tenaga. Selain itu, gejala masuk angin dalam perut juga mampu dihindari. Seeloknya, makan sejam atau dua jam sebelum memulakan perjalanan.

Rehat Secukupnya - Keletihan boleh menjadi faktor utama yang menjadikan badan mudah diserang mabuk laut. Seeloknya, pastikan anda mempunyai tenaga yang mencukupi sebelum mengharungi perjalanan di laut.

Makan Makanan Masam – Selalunya apabila tekak mula berasa loya, kita mula mencari sesuatu yang masam untuk dimakan seperti jeruk buah. Simpan sedikit makanan atau minuman berperisa lemon dan oren pasti akan membantu anda.

Fokus – Sentiasa bertenang semasa berada di lautan dan tidak memikirkan tentang mabuk laut adalah teknik psikologi terbaik yang akan merangsang tubuh agar tidak terjerumus kepada gejala  tersebut.

Ubat-Ubatan – Pengambilan ubat-ubatan adalah langkah bijak secara klinikal yang membantu anda kekal ceria sepanjang perjalanan. Di farmasi, terdapat banyak jenis pil yang boleh diambil mengikut kesesuaian tubuh anda.
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.