Header Ads

ANTARA HALAL & VEGETARIAN


Suatu perkara biasa buat si pengembara yang melancong ke luar adalah untuk mencari makanan halal. Sekiranya tiada makanan halal, salah satu altenatif yang terdekat adalah dengan memilih makanan laut atau vegetarian. Pun begitu, adakah vegetarian boleh dikategorikan sebagai halal?
Walaupun istilah halal mula menembusi benua Eropah dan kebanyakan negara-negara di Asia, ia tidaklah terkenal sebagaimana diet yang diamalkan seperti kosher, vegetarian. vegan dan gluten-free diet. Justeru itu, mencari makanan halal di negeri asing kadangkala tidaklah semudah yang disangka.

Menu Vegetarian
E.L.F sering mendapati bahawa diet halal sering dikeluarkan daripada menu oleh kebanyakan restoran yang menawarkan diet vegetarian sebagai pengganti/altenatif. Tetapi pada hakikatnya, tidak semua diet vegetarian yang ditawarkan adalah halal.

Bahkan, operator restoran dan para pelayan juga kadangkala tidak faham dengan apa yang dikatakan sebagai halal. Tambah meruncing, istilah halal sering dipopularkan dengan ungkapan - ‘As Long As No Pork’ oleh individu yang tidak peka dengan pengertian halal yang sebenar. 

Halal adalah satu teras pemakanan umat Islam yang berpandukan al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w. Manakala, vegetarian pula adalah  sebuah set diet yang diamalkan di atas kebimbangan kesihatan, keagamaan atau sebuah ideologi penentangan terhadap memakan haiwan. Maka, mengambil menu vegetarian bukanlah sebuah butang automatik yang menjadikan makanan tersebut halal.

Vege Belum Tentu Halal

Tidak seperti vegetarian, umat Islam dibenarkan memakan daging-daging tertentu selagi ianya disembelih mengikut kaedah yang dianjurkan oleh Islam. Kebanyakan vegetarian tidak makan ikan dan telur, sedangkan kedua-duanya dibenarkan untuk dimakan oleh orang Islam. Justeru itu, pastinya terdapat sedikit perbezaan di situ.

Vegetarian membolehkan penggunaan bahan-bahan yang memisahkan mereka untuk menjadi halal. Contohnya penggunaan alkohol dalam kuah, sos dan perisa vanila. Sesetengah resepi vegetarian juga menggunakan wain sebagai ramuan. Walaupun kuantiti yang digunakan adalah sedikit, tetapi ia tetap dilarang.

Coklat dan manisan yang terdapat di pasaran luar juga kadangkala mengandungi alkohol. Selain alkohol, penggunaan gelatin yang berasaskan sumber haiwan yang diragui juga mudah dijumpai dalam kandungan pemakanan yang ditulis di luar pek. Pendek kata, sebahagian besar produk coklat yang dijual di luar negara mengandungi gelatin babi dan tidak sesuai untuk digunakan oleh pengguna Islam.

Kesimpulannya, pengertian halal harus diperkemaskan dan diwar-warkan agar difahami oleh masyarakat dunia. Istilah ‘As Long As No Pork’ tidak boleh digunapakai untuk mendefinasikan halal, kerana ianya menyimpang, bahkan akan mengelirukan premis-premis yang berminat untuk menyediakan makanan halal buat para pengembara Muslim. 

Panduan Makanan Halal di Luar Negara

  • Cari restoran yang mempamerkan logo pensijilan Halal di premis mereka. Anda boleh mendapatkan info mudah mengenai restoran halal di internet. 
  • Pilihan kedua andai tiada restoran halal ialah mencari restoran yang menyediakan makanan berunsurkan seafood dan makanan vegetarian. Pun begitu, berhati-hati agar tiada penggunaan alkohol, wain dan minyak haiwan yang digunakan.
  • Bawa sendiri bekas makanan untuk anda nikmati di dalam hotel. Tidak salah untuk menyediakan makanan sendiri dengan hanya membeli belah di kedai-kedai tempatan untuk produk semula jadi (buah-buahan, sayur-sayuran, roti, madu dan lain-lain).
  • Pek makanan ringan yang halal dan sihat seperti oat untuk mengelakkan anda dari kelaparan. Kekacang, buah-buahan kering dan sesetengah makanan ringan mampu membantu anda untuk kekal kenyang sepanjang malam. Jika tidak, mi segera adalah pilihan yang mudah dan mengeyangkan.
  • Pelajari dan kenali istilah dan nama-nama lain bagi babi yang digunakan dalam menu makanan Italy, Mexico, French dan sesetengah restoran barat bagi membantu anda membuat pemilihan makanan dengan mudah. 
  • Jika terpaksa makan di luar, pilih makanan vegetarian atau seafood yang dirasakan tidak mengandungi kandungan babi atau alkohol. Anda boleh bertanya kepada pelayan dengan lebih lanjut mengenai penyediaan makanan setelah mengimbas menu dan memberi sedikit ‘guide’ kepada pelayan mengenai diet halal.



Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.