Header Ads

BENTO KETAM NIPAH - KAMPUNG SUNGAI MELAYU JOHOR


Berkunjung ke negeri Johor memberi peluang kepada E.L.F untuk mencuba sendiri satu tarikan eko-pelancongan terbaru iaitu Crab Netting Kampung Sungai Melayu. Perkampungan nelayan ini terletak di Mukim Pulai, dengan jarak 10 km dari Gelang Patah, Johor.

Ketam Nipah sememangnya tidak asing buat penggemar makanan laut. Tekstur isinya yang lebih manis daripada ketam biasa, membuatkan harga ketam ini lebih mahal daripada ketam yang lain. Pun begitu, pernahkah anda makan ketam ‘fresh’ yang ditangkap sendiri?

Bento/Crab Netting
Crab netting atau bento adalah aktiviti yang menggunakan sebuah bubu yang diikat pada seutas tali dan pelampung. Alat ini juga dikenali dengan nama bento. Untuk menarik perhatian ketam untuk masuk ke dalam perangkap ini, isi ikan digunakan sebagai umpan. Selain ikan, cebisan isi ayam juga boleh digunakan sebagai umpan. Bento dilepaskan di dasar Sungai Gading kira-kira 30 minit sebelum kami kembali semula untuk memungut hasil. 


Sementara menunggu waktu untuk memungut ketam, E.L.F dibawa menyusuri sepanjang sungai untuk melihat sendiri suasana hutan paya bakau. Penulis dapat melihat suasana paya bakau yang menenangkan. Selain itu, terdapat juga beberapa kumpulan pemancing yang menghabiskan masa hujung minggu bersama hobi yang mereka minati.

Paya bakau sememangnya punya habitat flora dan faunanya yang tersendiri. E.L.F dapat melihat kehadiran burung helang dan beberapa spesies burung yang lain. Di tebing sungai juga memperlihatkan sekumpulan besar ikan belacak. Meskipun dikatakan ikan belacak dikatakan mempunyai khasiat yang tertentu, tentu ramai yang tidak sanggup untuk mencubanya dek kerana rupanya. 


Menyusuri sepanjang paya bakau sewaktu aktiviti menangkap ketam membuatkan anda terdedah pada sinaran matahari yang melampau. Justeru itu jangan lupa untuk membawa topi, losyen, cermin mata dan digalakkan untuk memakai baju lengan panjang untuk mengelakkan anda daripada terkena sunburn.

Setelah menyusuri sepanjang sungai, kami kembali semula ke tempat pelepasan bubu untuk melihat hasil tangkapan. Penulis diberi peluang untuk mendaratkan ketam. Bagaikan membuka hadiah misteri, tali ditarik perlahan-lahan untuk mendaratkan bento. Bubu yang pada mulanya kosong berjaya memerangkap seekor ketam nipah yang bersaiz besar dan sedikit agresif.


Setibanya di jeti, E.L.F turut diajar teknik mudah untuk mengikat ketam yang ditangkap menggunakan tali rafia bagi mengelakkan si penangkap terkena penangan ‘sepitan’ ketam ini. Ketam yang ditangkap boleh hidup di darat dalam jangka masa yang lama kerana kerana mempunyai satu ruang yang mengandungi sedikit air di insangnya yang boleh ditutup untuk membantu pernafasannya.


Seusai misi pencarian kami, kami dibawa untuk menjamu selera dengan masakan kampung yang amat menyelerakan. Asam pedas resepi asli, kangkung goreng belacan, sambal, ketam dan udang, apa lagi yang ditunggu, kami makan dengan berselera. Memang lazat!


Selain crab netting, Kampung Sungai Melayu turut terkenal dengan aktiviti sungai seperti menangkap kupang, ikan dan udang. Kulit kupang turut dijadikan sebagai salah satu produk kraftangan oleh masyarakat tempatan. Selain itu, pelancong turut dapat melihat sendiri rutin kehidupan penduduk dan perusahaan kecil seperti pembuatan belacan.

Sememangnya, aktiviti sebegini memberi pengalaman baru terutamanya buat anak-anak muda untuk merasai suasana sebenar masyarakat nelayan serta menghargai eko sistem alam semula jadi. Tambahan pula, sedikit ilmu dapat dibawa pulang dimana pengalaman menangkap ketam menggunakan bento merupakan suatu aktiviti yang amat menyeronokkan.


Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.