Header Ads

10 MAKANAN POPULAR PULAU PINANG



Orang kita dengan lokasi makan-makan tidak mampu dipisahkan. Malah, makanan boleh menjadi antara sebab utama pelancong datang ke sana. Negeri Pulau Pinang tidak terkecuali dalam hal ini. 


1- Rojak Pasembor

Andai orang barat terkenal dengan hidangan salad, hidangan seakan ‘gado-gado’ ini tidak kurang hebatnya. Secara lazimnya, hidangan pasembor (juga dikenali sebagai pasembur atau ‘pasemboq’) disajikan dengan cucur udang rangup, telur, hirisan timun, sengkuang dan beberapa lagi aksesori lain seperti sosej, sotong goreng dan ketam berempah bersama kuah kacang. Hidangan ini mudah didapati di Persiaran Gurney, Padang Kota Lama dan tapak penjaja sekitar Jelutong.


2 - Nasi Kandar

Sebut sahaja nasi kandar, E.L.F percaya pasti ada pembaca yang ketika ini sedang ‘meneguk air liur’. Perkataan ‘kandar’ sebanarnya diambil daripada amalan tradisi penjaja nasi dahulu kala yang mengandar periuk nasi dan lauk pauk pada sebatang kayu yang dibawa untuk dijual kepada pelanggannya. Memang tidak dinafikan, nasi kandar di Pulau Pinang sememangnya lebih ‘original’ dan sedap rasanya. Malah, ada yang kata nasi kandar boleh menyebabkan ketagihan dek kerana nasi, ayam goreng atau kuah kari kepala ikan yang enak.

Restoran Nasi Kandar Pilihan E.LF
(1) Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park
(2) Nasi Kandar Hameediyah
(3) Nasi Kandar Beratur (Liyaqat Ali)
(4) Nasi Kandar Kampung Melayu 
(5)  Nasi Kandar Kayu Original Bukit Jambul


3 - Laksa Penang

Salah satu soalan yang sering hinggap di kotak pemikiran E.L.F ialah apakah yang menjadi perbezaan antara Laksa Penang dan Laksa Kedah. Ada yang mengatakan kedua-duanya sama sahaja, pun begitu sebenarnya ada beberapa perbezaan yang ketara. 

Laksa Penang pada pendapat E.L.F menekankan penggunaan lengkuas dan serai manakala Laksa Kedah tidak menggunakan kedua-dua bahan tersebut. Disamping itu, kuah Laksa Kedah menggunakan isi ikan hancur berbanding Laksa Penang yang isi ikannya hanya dicarik-carikkan.

Antara lokasi untuk merasai keenakan Laksa Penang yang harus dicuba ialah Laksa Janggus Kampung Perlis, Balik Pulau yang dibuka pada setiap hari bermula jam 3.30 petang sehingga lapan malam dan hanya tutup pada hari Rabu.


4 -  Cendol

Cendol adalah minuman yang diperbuat menggunakan santan, jeli hijau, ais dan gula melaka. Sesiapa sahaja pasti menggemarinya terutamanya ketika cuaca panas. Pergilah ke mana sahaja, pasti anda mudah untuk memesan hidangan penghilang haus ini ketika berada di Pulau Pinang. 

Perniagaan cendol di Pulau Pinang secara umumnya adalah warisan resipi dari generasi ke generasi. Justeru itu, tidak hairanlah jika rasa dan keistimewaannya kekal hingga ke hari ini. Jika berpusu-pusu di Pasar Chowrasta, jangan lupa untuk memesan hidangan ini.


5 - Char Kuey Teow

Bagai sebuah kombinasi yang tak dapat dipisahkan, bila sebut sahaja mengenai ‘Char Kuey Teow’, pasti perkataan ‘Penang’ akan menjelma di belakangnya. Umumnya, ramuan yang digunakan pada hidangan ini hampir sama. 

Namun, seperti masakan tomyam, teknik memasak dan kuantiti bahan-bahan yang bakal memberikan identiti yang tersendiri pada hidangan ini. Antara yang famous di sana, Adam Char Koey Teow Permatang Pauh, Char Koey Teow Sungai Dua dan Mady Char Koey Teow Batu Feringghi.

Dikatakan, resipi asal hidangan Char Kuey Teow diperolehi dari tukang masak kaum Tiong Hua dari keturunan Hokien sekitar tahun 80-an. Kemudian, ianya mula diperkenalkan kepada masyarakat tempatan serta pelancong di Pulau Pinang.

6 - Popia Basah

Popia sememangnya menjadi hidangan yang digemari warga kota. Kuih ini dibuat menggunakan taugeh, sengkuang, lobak dan kacang yang dibalut menggunakan kulit popia yang halus dan lembut bersama sos istimewanya yang pedas dan manis.  Antara lokasi popia basah yang sering menjadi buruan warga Pulau pinang adalah gerai popia basah Taman Tun Sardon, Jalan Hilir Pemancar, Gelugor yang dijual pada setiap hari Rabu. Pun begitu, anda harus beratur panjang sebelum dapat menikmati hidangan enak ini.


7 - Rojak Buah


Jangan terkejut jika anda memesan ‘rojak’, yang sampai adalah rojak buah-buahan. Ini kerana orang utara memanggil memanggil rojak dan pasembor dengan nama yang khusus. Rojak buah adalah kombinasi buah-buahan seperti nenes, magga, sengkuang, timun dan jambu air yang diadun dan digaul bersama ‘petis’(kuah rojak dan taburan kacang. Pulau Pinang juga sinonim dengan Rojak Tonggek Pantai Road dimana variasi buah-buahan dicucuk menggunakan lidi dan dicicah dalam semangkuk kuah rojak.

‘Rojak Tonggek’ mendapat nama dek kerana perbuatan membongkok(tonggek adalah loghat utara) sedikit sewaku hendak mencicah buah-buahan yang dicucuk menggunakan lidi pada mangkuk kuah kacang yang diletakkan sedikit rendah.


8 - Mee Goreng Mamak

Boleh dikatakan, setiap kedai nasi kandar ada menyediakan hidangan mee goreng. Pun begitu, adalah lebih ‘special’ jika restoran atau gerai di sini yang hanya menjual juadah ini. Paling tidak pun ada mee rebus tanpa menu lain. Bagi E.L.F, mee goreng terbaik yang seharusnya tidak dilepaskan tiap kali ke Penang adalah Mee Goreng Pokok Ceri yang terletak di Jalan Bagan Luar, Butterworth. Selain itu, Mee Goreng Sotong dan Coconut Shake Padang Kota juga wajib dicuba!


9 - Murtabak

Tentu jarang sekali kita dengar jika orang sanggup datang dari jauh hanya untuk membeli sekeping roti murtabak. Itulah penangan hidangan murtabak di Restoran Hameediyah yang terletak di No. 64, Lebuh Campbell, George Town. Restoran ini juga dikatakan sebagai satu-satunya restoran yang masih gah berdiri di Lebuh Campbell sejak dari tahun 1907. Buat anda yang ingin merasakan cita rasa murtabak yang original, jangan lepaskan peluang untuk ke sini suatu hari nanti.


10 - Ikan Bakar

Menjadi tumpuan buat penggemar makanan laut segar, Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai ‘port’  ikan bakar.  Jika bertandang ke sini, salah satu lokasi ikan bakar yang E.L.F ingin cadangkan ialah Adnan Bin Hassan Ikan Bakar Dan Nasi Lemak, Kampung Teluk Tempoyak yang dibuka setiap hari kecuali hari Isnin bermula dari jam enam petang hingga 11 malam. Di sini, anda boleh menikmati sajian ikan bakar bersama nasi lemak, jus amra dan coconut shake sambil ditemani suasana pantai yang menenangkan.

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.