Header Ads

LAMBAIAN INAP DESA HOMESTAY BANGHURIS


Banghuris adalah nama yang mewakili tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit Bangkong, Kampung Hulu Chuchuh dan Kampung Hulu Teris. Para pengunjung boleh memilih untuk menginap di sini mengikut pakej tiga hari dua malam atau dua hari satu malam dengan harga pakej yang amat berbaloi. Homestay Banghuris menawarkan 80 buah rumah rumah keluarga angakat dengan kapasiti 100 buah bilik buat para tetamunya.


Berpeluang menghabiskan masa setengah hari di perkampungan pasti dimanfaatkan sepenuhnya buat warga kota seperti penulis. Pada pendapat E.L.F, inilah peluang untuk merasai sendiri udara gaya hidup tradisi kampung yang kian menghilang ditelan zaman.

Rombongan rakan media disambut dengan paluan kompang sejurus turun dari bas yang kami naiki. Kami disambut oleh Basir Wajiman, Pengerusi Homestay Banghuris yang mesra dengan panggilan Wak. Bagai orang yang mengantuk disorong bantal, air kelapa segar dihidangkan buat kami yang sedang kehausan dek bahang panas tengah hari.



Nyanyian merdu irama retro 60an mula dipersembahkan oleh kumpulan band Homestay Banghuris ketika para krew media menikmati juadah mi sup istimewa. Bukan itu sahaja, kami turut dijamu dengan buah durian segar yang enak! Kami turut berpeluang untuk berkaraoke dan beramah mesra dengan penduduk kampung yang ramah.



Apa yang menggamit hati ialah keramahan penduduk kampung di sini. Meskipun baru bersua, kami dilayan seolah sebuah keluarga yang besar. Seusai makan, kami bersidai di pelantar sambil mencuba untuk memancing ikan sepat menggunakan joran buluh. Menangkap ikan sepat amat mudah kerana umpan telah disediakan, namun perlu teknik yang betul serta sedikit kesabaran.


Wak membawa kami ke ladang getah sambil menunjukkan demonstrasi bagaimana cara untuk menoreh dan memproses getah. Apa yang menariknya, kami turut berpeluang untuk mencuba sendiri untuk menoreh getah. Ada yang baru pertama kali bertemu dengan pokok getah. Maka, terasa sedikit kekok menggunakan pisau penoreh.

Menurut Wak, selain daripada aktiviti ini, para pengujung homestay turut berpeluang untuk melihat proses penghasilan kopi, produk-produk tempatan seperti kerepek, permainan muzik menggunakan alat tradisional, persembahan tarian dan seni silat serta mengait buah kelapa sawit.


Apa yang pasti, ini bukanlah kunjungan terakhir kami di sini. E.L.F percaya, suatu hari nanti pasti kami akan kembali untuk menginap sehari dua pula di sini untuk bertemankan udara yang segar serta suasana kampung yang nyaman.


HOMESTAY BANGHURIS
Kg. Hulu Chuchoh, 43950 Sg. Pelek. Sepang, Selangor   
Puan Misriah/Tuan Hj. Basir bin Wagiman
T: +6019-3919547/+6012-6628548
F: +603-31421010
E: banguris_homestay@yahoo.com     


Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.