Header Ads

IPOH - TEMPAT BERSARA PALING BERPATUTAN DI DUNIA


Mungkin ramai yang tidak percaya, namun bandar Ipoh telah dipilih sebagai salah satu di antara sembilan tempat bersara paling berpatutan di dunia dalam sebuah artikel yang bertajuk “The World’s 9 Most Affordable Places to Retire” yang diterbitkan pada portal money.usnews.com.

Artikel bertarikh 16 April 2014 ini telah ditulis oleh Kathleen Peddicord yang merupakan pengasas dan penerbit ‘Live and Invest Overseas’. Dengan pengalaman lebih daripada 28 tahun menceburi dalam bidang kewangan dan pelaburan, Kathleen yang merupakan seorang penulis yang aktif kini tampil dengan buku terbarunya "How To Buy Real Estate Overseas" yang diterbitkan oleh Wiley & Sons.

Berbekalkan anggaran bajet bulanan persaraan sebanyak US Dolar 897, Kathleen berpendapat bahawa bandar Ipoh adalah syurga persaraan yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Udara segar, air bersih dan gaya hidup yang santai bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan tetapi juga menggalakkan umur yang panjang. Hal ini bukan sahaja disedari oleh rakyat tempatan tetapi juga pesara dari luar negara.

Komennya lagi, walaupun bandar Ipoh mempunyai penduduk melebihi setengah juta, Ipoh terasa seperti sebuah bandar kecil. Anda boleh mengharapkan penjagaaan kesihatan bertaraf dunia dan infrastruktur moden tetapi ia merupakan bandar yang tidak dipenuhi dengan kesesakan bangunan tinggi dan pencakar langit.

Tambahnya lagi, penduduk tempatan yang mesra dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris memudahkan proses asimilasi serta dasar imigresen yang bertoleransi menjadikan Malaysia negara yang mudah untuk didiami dalam jangka masa pendek atau panjang.

Selain bandar Ipoh, bandar Nha Trang (Vietnam), Chiang Rai (Thailand) Dumaguete (Filipina), Cayo (Belize), Loja (Ecuador), (Granada) Nicaragua, Tralee ( Ireland) dan Carcassonne (France) disebut sebagai lapan bandar persaraaan paling berpatutan yang turut tersenarai di dalam artikelnya.
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.