Header Ads

PARAGLIDING @ JUGRA

 Menjejak Tinggi Awan Nano 

Banting sememangnya terkenal sebagai salah satu lokasi Paragliding. Buat pertama kalinya, saya berpeluang untuk mencuba sendiri untuk melakukan aktiviti di Bukit Jugra. Bukan sahaja dapat merasai aktiviti ekstrem ini, penulis juga sempat untuk berkunjung ke Muzium Insitu Jugra untuk melihat sejarah yang ada di sana.

Bukit Jugra

Bukit Jugra merupakan sebuah bukit yang menghadap Selat Melaka dan berhampiran dengan Sungai Langat mempunyai keunikannya yang tersendiri. Mengikut sejarah, Bukit Jugra telah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad dari tahun 1859 hingga 1898. 


Bukit ini menjadi tarikan penduduk tempatan untuk berjogging dan beriadah. Buat pelancong pula, mereka dapat melihat pemandangan indah dan melihat rumah api yang dikenali sebagai Rumah Api Bukit Jugra yang dibina pada tahun 1976. 


Paragliding

Meskipun sukan yang diperkenalkan oleh Persatuan Luncur Udara Malaysia ini sudah mula bertapak di Bukit Jugra, namun masih ramai yang ragu-ragu untuk mencubanya. Penulis yang berkesempatan mencuba aktiviti ini berpendapat bahawa aktiviti paragliding amat selamat untuk dicuba kerana banyak aspek keselamatan yang dititik beratkan sebelum melakukan penerbangan.


Muzium Insitu Jugra

Tidak lengkap kunjungan anda di Bukit Jugra andai tidak ke sini. Muzium Insitu Jugra terletak dibawah kaki Bukit Jugra dan berhampiran Sungai Langat. Pada asalnya bangunan ini merupakan sebuah Balai Polis Lama dan mempunyai rumah pasung. 

Ia merupakan sebuah tinggalan bangunan dua tingkat dan berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman menerusi sistem kehakiman British yang diguna pakai pada ketika itu. Bangunan ini telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers seorang Pegawai Polis British pada tahun 1875.


Muara Sungai Langat

Pemandangan di sungai ini yang nampak tenang ini menyimpan seribu satu misteri dan sejarah lampau yang berharga andai dikaji dengan lebih dalam. Dari atas bukit, pemandangan sungai berwarna hijau ini sememangnya amat mengkagumkan, terutamanya tatkala payang paragliding terbang melewati di  atas sungai ini.


Bukit Jugra boleh dikatakan sebagai satu-satunya tempat untuk melakukan aktiviti paragliding di Semenanjung Malaysia. Sambil terbang tinggi di awan, mereka yang melakukan aktiviti ekstrim ini dapat menikmati pemandangan yang luar biasa dari sudut atas. Mereka yang berminat untuk mencuba paragliding boleh mengikuti Facebook: Persatuan Luncur Udara Malaysia atau Instagram: PARAGLIDINGMALAYSIA.




Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.