Header Ads

MENYELAMI KEHIDUPAN MINI LEGO


Leka Di Alam Fantasi Miniland Tiada yang seumpamanya tatkala melihat susunan Lego yang dipamerkan di sini. Simply wow! Bongkah Lego sering kali disalah ertikan sebagai permainan kanak-kanak sahaja. Sebenarnya tidak. Lego tidak terhad kepada sebarang peringkat umur kerana ia menjadikan mereka yang meminatinya lebih kreatif dan inovatif. Maka tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka untuk bermain Lego setelah mencapai usia yang sesuai.


Hujan renyai turun tatkala bas kami melewati jalan ke Nusajaya. Dalam hati, terdetik sedikit perasaan resah. Bukan apa, takut-takut keadaan cuaca sebegini bakal mengganggu kelancaran program.

Kami bernasib baik. Setibanya kami di sana, bagaikan magis, hujan yang tadi rancak membasahi bumi tiba-tiba reda. Terbit senyuman dari wajah kerana kami tidak akan basah kuyup apabila meneroka LEGOLAND buat pertama kalinya.

LEGOLAND, seluruh pelusuk negara sudah mengetahui kewujudannya di selatan tanah air. Diurus oleh Merlin Entertainment dengan kerjasama Themed Attraction of Resort (TAR) dan Iskandar Investment Berhad (IIB), ia merupakan taman tema LEGO pertama di Asia, dibina khas untuk hiburan sekeluarga.


Biarpun keadaan sedikit berkabus ketika bas menghampiri taman tema, kami dapat melihat secara jelas kemegahan kawasan seluas 76 ekar  ini. “WOW! Seronoknya,” jerit salah seorang kanak-kanak yang turut sama mengikuti trip dari Pulai Springs Resort.

Pada pendapat kami, bukan kanak-kanak sahaja yang tidak sabar untuk bermain di bumi kuning merah ini, orang dewasa turut tidak terkecuali. Buktinya, sejurus sampai di pintu gerbang Legoland, kelihatan gelagat orang dewasa yang tidak berhenti-henti bergambar di salah satu mercu yang tertulis ‘Legoland Malaysia’.  Kami pun apa kurangnya. Tak ubah macam rusa masuk kampung.



Bermulanya Pengembaraan Di Kota Keriangan

Hirupan coklat panas dinikmati untuk meredakan kesejukan ketika kami melabuhkan punggung di satu sudut ruangan The Cafe. Kami juga dapat menikmati sepinggan lasagna, salah satu hidangan istimewa dalam keadaan yang selesa, meskipun ruangan ini sarat dengan kehadiran pengunjung.
  
Selain The Cafe, ada enam lagi restoran. Tiap satunya menawarkan menu dengan tema yang berbeza. Sekali imbas, makanan barat, Asia, dan menu tempatan boleh dicuba di sini. Malah, tema-tema kreatif seperti Robot Kitchen, The Jungle dan Knight’s feast pasti menarik minat semua peringkat umur.

Setelah mengalas perut, kami memulakan pengembaraan buat kali pertama di LEGOLAND. Sedikit tip untuk anda yang tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan perjalanan di sini. Anda tidak perlu risau kerana tujuh tarikan utama di sini bagaikan membentuk satu bulatan. Bagi kami, perjalanan adalah lebih mudah sekiranya ia dimulakan dari sebelah kiri pintu masuk.

Meskipun taman tema ini mempunyai tujuh kawasan dengan tema yang tersendiri, Miniland, sebuah taman miniatur yang telah berjaya menarik minat kami untuk meninjau-ninjau ke apa yang ada di sana terlebih dulu.


Sewaktu perjalanan menuju ke Miniland, sayup-sayup terdengar jeritan yang makin lama makin kuat kedengaran. Rupa-rupanya suara itu terbit dari satu kawasan yang dinamakan LEGO Technic. Bagaikan pelesit, muncul satu kenderaan yang meluncur dan menggelongsor di satu landasan udara. Permainan hebat ini dinamakan Project X.

Secara ringkas mengenai Project X, ia merupakan koc empat penumpang yang menawarkan pengembaraan hebat menempuhi 15 laluan penuh berliku. Selain Project X yang ekstrim, Technic Twister dan Aquazone Wave Racers kelihatan agak santai, namun cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja yang menaikinya menjerit keriangan. Setelah lima minit menapak, kami tiba di Miniland.

Taman Mini Yang Sukar Digambarkan Dengan Kata-Kata

Akhirnya, kami berjaya menjejakkan kaki di sini. Masing-masing tercengang melihat binaan-binaan yang mengkagumkan. Bagaikan tidak percaya bahawa semuanya hanya dibina menggunakan cantuman-cantuman Lego. 

Mata kami tertumpu kepada keindahan senibina Menara Berkembar Petronas, Taj Mahal dan Angkor Wat. Binaan yang terperinci dan ketelitian dalam skala 1:20 ini seolah-olah bangunan asal yang hanya dikecilkan. Sungguh mengagumkan!

Untuk pengetahuan pembaca, Miniland telah direka dan dibina oleh pasukan yang dianggotai lebih daripada 100 pereka dari seluruh dunia. Difahamkan, projek ini mengambil masa lebih dari tiga tahun sebelum ia siap sepenuhnya.


Berjalan-jalan sambil menangkap gambar di sini sememangnya melekakan.Hampir kesemua bandar telah kami jelajahi. Kami terbang ke 12 negara yang berbeza seperti Singapura, Indonesia, China, Kemboja, Brunei, Laos dan banyak lagi.

Pengunjung tanpa perlu berbelanja lebih dapat berimaginasi dan melihat sedikit sebanyak idea bagaimana keadaan-keadaan lokasi terkenal dunia ini, apatah lagi bila mengetahui bahawa rekaan Lego di sini sememangnya dibina mengikut reka letak binaan dan geografi yang sebenar.

Tambahan pula, kebanyakkan model Lego seperti kereta api, kapal terbang dan kapal terbang dapat digerakkan, tidak kurang dengan efek bunyi yang tersendiri, lantas membolehkan pengujung seperti kami menghidupkan model-model dengan hanya perlu menyentuh butang khas.

Sedar tak sedar, hampir dua jam kami memperuntukkan masa di sini. Kini sudah tiba masanya untuk berangkat pulang ke hotel. Sememangnya, lawatan ke Miniland Legoland buat kali pertama ini memberikan satu pengalaman baru yang tidak dapat kami lupakan.


Kebanyakkan binaan ini direka dan dipasang secara lokal di LEGOLAND Model Shop di Nusa Cemerlang Johor Bahru. Selainnya, ia dibina di USA, Denmark, England, Jerman, dan Republik Czech sebelum dieksport menggunakan kontena kargo ke LEGOLAND Malaysia untuk dipasang.






Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.