Header Ads

PARANORMAL NIGHT TOUR KELLIE'S CASTLE

Siapa yang pernah bermalam di Kellie's Castle? Jika tidak pernah, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti Kellie's Castle Paranormal Night Tour yang kini sedang giat dipromosikan oleh Tourism Perak. Memang meremang bulu roma dan menyeramkan, namun aktiviti ini sangat baik untuk menguji ketahanan mental dan fizikal agar menjadi insan yang lebih berani.

Kisah seram selalunya dihubung kait dengan unsur mistik, makhluk halus dan kisah misteri. Masyarakat kita umumnya seringkali dimomokkan dengan kisah seram yang sekaligus menjadi satu igauan yang menakutkan. Walhal, kisah itu tidak semestinya lahir dari sumber-sumber yang sahih dan benar.

Begitu juga kisah Kellie’s Castle. Tentu banyak sekali kisah misteri yang telah anda dengar. Maka, tidak hairanlah jika rumah agam William Kellie Smith ini telah dinobatkan sebagai antara lima lokasi terseram di Malaysia oleh pengkaji paranormal antarabangsa dan juga portal pelancongan  Expedia dari Amerika Syarikat.


Kellie's Castle Tampak Lebih Seram Tatkala Senja Menjelma

Justeru itu, maka lahirlah sebuah program yang dikenali sebagai 'Kellie's Castle Paranormal Night Tour'. Program yang pertama kali dijalankan selama 30 minit pada setiap sesi ini bakal memberi pengalaman dan dimensi baru kepada pengunjung untuk mengalami dan merungkai sendiri aktiviti paranormal sebenar.

“Untuk pengetahuan pengunjung, aktiviti ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan atau memomokkan pengujung tetapi ianya sekadar untuk memberi peluang merasai sendiri untuk berada di dalam keadaan yang seram dan gelap di samping merungkai fakta paranormal yang ada di Kellie's Castle,” kata Zamari Muhyi, Pengurus Kellie's Castle.

'Kellie's Castle Paranormal Night Tour' memberi peluang kepada pengunjung suatu pengalaman yang unik ketika berada di Kellies’s Castle di waktu malam. Pun begitu, aktiviti ini dijalankan dalam keadaan yang selamat, selesa dan terkawal. 

Kellie's Castle - Tidak pernah terbayang bagaimana kemegahan rumah agam ini pada zaman pembinaannya.



Intipati Pakej 'Kellie's Castle Paranormal Night Tour'

'Kellie's Castle Paranormal Night Tour' dijalankan pada malam Jumaat dan Sabtu pada setiap minggu pertama dan keempat setiap bulan. Pakej ini merangkumi aktiviti lawatan malam ke Kellie’s Castle, tayangan ‘Merungkai Fakta Paranormal’, minum malam, snek, t-shirt percuma, sijil penyertaan dan insuran kemalangan. Jumlah maksima peserta adalah sebanyak 40 orang pada satu malam (dibahagikan kepada lima kumpulan).

Lawatan ini terbuka pada setiap pengunjung di dalam dan luar negara yang berumur 17 tahun dan ke atas. Kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menyertai lawatan ini. Para peserta juga mesti tidak menghidapi sebarang penyakit jantung atau darah tinggi. Perempuan yang sedang mengandung dan didatangi haid juga tidak dibenarkan menyertai program ini.


Keratan Akhbar Yang Membuktikan Saya Pernah Menyertai Aktiviti Ini..Hehehe

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.