Header Ads

'DOUBLE TROUBLE' KAMPUNG BARU

Nasi Lemak Antarabangsa vs Pasar Karat Pintu Gerbang


Bersarapan pagi dan mencuci mata di pasar karat, pastinya Kampung Baru menawarkan pengalaman unik dua dalam satu. Tarikan baru ini mula mendapat perhatian warga kota yang gemar bersarapan pagi berlatarkan suasana kampung.

Banyak barangan yang dijual di sini. Antaranya, beg, dompet dan tali pinggang yang diperbuat daripada kulit. Barangan-barangan antik seperti kamera, telefon juga turut dijual. Selain itu, pakaian dan kasut turut dijual secara lambak. Setibanya di sini, penulis dapat melihat orang ramai yang berpusu-pusu meneliti ‘condition’ barangan yang mereka dambakan. Penulis juga turut tidak terkecuali. (Foto: Alangraphy) 



Kewujudan Pasar Karat ‘mini’ berhampiran pintu gerbang yang bermula seawal pagi. Info ini penulis dapat setelah bercadang untuk menjamu selera di Restoran Nasi Lemak Antarabangsa yang sememangnya sudah terkenal di kalangan pengunjung yang bertandang.


Menghirup udara pagi hari yang menyegarkan, kami pun memulakan langkah ke tempat yang ingin kami tuju. Suasana di pagi hari sedikit lengang berbanding pada malam hari kerana Kampung Baru sememangnya meriah dengan kunjungan orang ramai untuk menikmati makan malam. Terdapat puluhan restoran yang menawarkan masakan barat, tom yam mahupun masakan Padang. Justeru itu tidak hairan jika Kampung Baru diberi jolokan ‘food heaven’.


Setelah puas membelek dan membeli dompet kulit yang yang dijual dengan harga amat berpatutan, perut pun mula berkeroncong. Tanpa membuang masa, penulis pun melangkah kaki untuk mencuba sendiri Nasi Lemak Antarabangsa yang sering diperkatakan orang ramai. Kedudukan restoran ini dan pasar karat terletak di tempat yang sama yakni Jalan Raja Muda Musa. Ia bersebelahan dengan Jalan Raja Alang, tempat yang menjadi persinggahan penulis.


 Buat mereka yang pertama kali menikmati nasi lemak ini pasti menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih lauk yang ingin dinikmati bersama nasi lemak. Ini disebabkan begitu banyak pilihan lauk seperti ayam goreng, rendang, sambal kerang, sambal daging, sotong, bergedil, telur goreng, ikan bilis dan hati ayam. Yang pastinya, kesemuanya nampak enak-enak belaka.


Servis di sini amat pantas. Harga yang dikenakan juga amat berpatutan. Sesuai dengan lauk apa yang kita pilih. Istimewanya, Nasi Lemak Antarabangsa masih mengekalkan ciri-ciri identiti tradisi yang wajib ada untuk menaikkan aroma wangi dan persembahan hidangan itu dengan dilapik dengan daun pisang. Memang ada umphhhhh! 


Selain Nasi Lemak Antarabangsa, terdapat banyak lagi restoran yang boleh dijadikan pilihan oleh para pengunjung untuk bersarapan pagi.
Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.